Suasana sekitar HKHS 2026 berlangsung.-JAPEN
KOTA KINABALU : Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 berlangsung lancar dan meriah dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung, pada Isnin.
Sambutan HKHS 2026 yang diadakan di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan Toh Puan Faridah Tussin diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isterinya Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Acara dimulakan dengan Tun Musa menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormat Utama (KKU) sebelum beliau turun dari pentas untuk memeriksa KKU.
Tun Musa kemudian naik semula ke pentas dan menerima semula Hormat Diraja KKU dan disusuli dengan upacara menaikkan Bendera Malaysia dan Bendera Sabah diiringi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.
Program diteruskan dengan Lafaz Ikrar Rukun Negara oleh anggota badan beruniform sebelum pengunjung dihiburkan dengan persembahan Koir daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan beberapa buah lagu antaranya ‘Lagu Tema Hari Kebangsaan 2026 : Aku Berjanji’, ‘Sabah Maju Jaya’, ‘Malaysia Berjaya’ dan ‘Jalur Gemilang.
Dataran Tun Fuad Stephen riuh dengan sorakan dari pengunjung apabila Acara Berjalan Lalu bermula dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), disusuli 121 Kontinjen Perbarisan dan 52 Kontinjen Kenderaan menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan sebanyak 173 kontinjen.
Antara kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan), adalah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Selain itu, kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan) pula antaranya ialah Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUPS), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Hospital Queen Elizabeth, dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Perarakan turut memperlihatkan pasukan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026, yang diketuai Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah, Jainisah Mohd Noor berserta rakan-rakan strategik yang sudah mengelilingi seluruh negeri Sabah dengan membawa mesej jelas menyemarakkan dan menggelorakan bulan kebangsaan dan semangat patriotisme buat seluruh masyarakat di Sabah.
Sambutan HKHS 2026 kemudian dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), persembahan aneka warna, serta persembahan Khas daripada JBPM sebelum KKU masuk mengambil tempat dan Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan disusuli Hormat Diraja daripada Kawalan KKU sebelum Tun Musa beredar meninggalkan majlis.
Hadir sama pada majlis tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun
yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHS 2026 dan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr. Sabin Samitah serta Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri./Penerangan–



