DITAHAN…Suspek (X) yang berjaya ditahan polis
PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan merampas 31 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 1,060.39 gram, dianggarkan bernilai RM20,150 dalam satu operasi di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata suspek ditahan kira-kira 12.30 tengah malam di sebuah premis hiburan pada 1 September lepas.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan THC.
“Hasil siasatan lanjut susulan tangkapan itu, polis menemukan sebuah beg di lokasi berasingan yang mengandungi 31 paket plastik berisi serbuk disyaki dadah berkenaan.
“Kesemua barang rampasan itu kemudian diambil untuk tindakan siasatan dan analisis lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sammy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Menurut beliau, suspek kini direman bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Sammy berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Beliau berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.



