Nizam bersama skuad E-Sport Sabah yang menang pingat perak acara Mobile Legends Bang Bang.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
SHAH ALAM: Gagal capai sasaran 40 pingat emas di SUKMA XXII Selangor 2026 yang berakhir pada Isnin bermakna ia akan kekal sebagai matlamat Sabah pada SUKMA akan datang.
Sehubungan dengan itu, `post mortem’ akan dibuat bagi mengenalpasti sebarang keperluan yang boleh membantu kontinjen Sabah merealisasikan misi yang belum kesampaian itu sejak kali pertama ditetapkan pada 2016.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yakin `post mortem’ itu nanti dapat membantu pihak berkaitan merangka strategi lebih berkesan bagi meningkatkan pencapaian Sabah.
“Insya-Allah kita akan memperbaiki di mana ada kelemahan dan kekurangan untuk kita menghadapi Sukan Malaysia yang akan diadakan dua tahun akan datang di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penutupan SUKMA yang disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Aneka Walk di sini pada Isnin.
Pasukan tuan rumah muncul juara keseluruhan sukan dwi tahunan itu yang berlangsung dari 15-24 Ogos dengan pencapaian 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.
Sabah pula di kedudukan kelapan dengan tuaian 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa.
SUKMA Selangor menghimpunkan lebih 10,000 atlet dari 15 pasukan bertanding merebut 468 pingat emas dari 37 jenis sukan dipertandingkan. Sabah menyertai 36 sukan.
Nizam antara penyokong utama kontinjen Sabah apabila terus berada di lapangan pertandingan setiap hari dari majlis perasmian sehinggalah ke majlis penutupan, komitmen yang tentunya telah memberikan beliau idea terbaik untuk Sabah membuat persiapan lebih baik bagi menghadapi SUKMA akan datang.
Menurutnya, walaupun gagal mencapai sasaran, beliau melihat sendiri perjuangan habis-habisan setiap anggota kontinjen terutamanya atlet dan apa yang dicapai tetap membanggakannya.
Beliau berkata, pencapaian Sabah di Selangor juga merupakan antara yang terbaik dalam sejarah penyertaannya di SUKMA termasuk lebih baik pencapaian kutipan pingat emas berbanding 29 emas di SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
Untuk itu, Nizam menzahirkan penghargaan kepada seluruh kontinjen Sabah termasuk atlet, pengurusan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah serta semua pihak yang terlibat dalam persiapan menghadapi SUKMA.
“Walaupun tidak mencapai sasaran kita, saya ingin menyatakan rasa bangga saya kepada kesungguhan atlet-atlet Sabah.
“Ada sukan yang mencapai sasaran mereka, malah ada yang memberi yang lebih baik daripada sasaran seperti sepak takraw dan petanque,” katanya.
Nizam juga melihat sendiri bahawa terdapat potensi besar di kalangan ramai atlet Sabah yang boleh dikembangkan melalui persiapan lebih terancang.
Oleh itu, beliau berharap hasil ‘post-mortem’ yang akan dijalankan dapat menjadi asas kepada usaha memperbaiki prestasi keseluruhan kontinjen Sabah dalam usaha merealisasikan sasaran 40 pingat emas pada SUKMA akan datang.
“Perjuangan tidak berakhir di Selangor, kita akan terus berusaha, menambah baik kelemahan dan melangkah lebih jauh demi kecemerlangan sukan negeri kita.
“Mudah-mudahan kita akan dapat mencapai sasaran kita untuk mendapat 40 pingat emas di kejohanan SUKMA yang akan datang, insya-Allah,” katanya.



