ADVERTISEMENTspot_img

Syarikat Bakeri di Labuan dikenakan tindakan, simpan barang kawalan berjadual tamat tempoh (CSA)

Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika melakukan pemeriksaan keatas syarikat bakeri berkenaan.

LABUAN: Sebuah syarikat bakeri di Wilayah Persekutuan Labuan diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan penemuan permit menyimpan barang kawalan berjadual (CSA) yang telah tamat tempoh.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, penemuan permit yang tamat tempoh itu dikesan menerusi pemeriksaan dan naziran yang dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN dalam penugasan Ops Tiris 4.0 di kawasan pinggir bandar sekitar Labuan, baru baru ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati permit menyimpan barang kawalan berjadual milik syarikat berkenaan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

“Namun begitu, syarikat tersebut didapati masih menjalankan aktiviti perniagaan yang melibatkan pembelian, penyimpanan dan penggunaan barang kawalan berjadual tanpa permit yang sah”, katanya disini.

Jelas Junaidah, dokumen berkaitan permit berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta perundangan subsidiari yang berkaitan.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan.

Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda boleh mencecah RM5 juta.

Katanya, KPDN WP Labuan mengingatkan semua pemegang lesen dan permit barang kawalan, termasuk pemborong barang kawalan berjadual, supaya sentiasa memastikan permit yang dimiliki masih sah serta mematuhi segala syarat yang ditetapkan.

Pemegang permit juga dinasihatkan agar tidak mengambil mudah tarikh tamat tempoh dan mengemukakan permohonan pembaharuan lebih awal bagi memastikan aktiviti perniagaan sentiasa mematuhi perundangan.

“KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan”, katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN