Pasukan UMS FC mengatasi MDK FC 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala Cahya Mata 2026.
OLEH: VITALIS G. BINGKASAN
KOTA KINABALU: Kelab Bolasepak Universiti Malaysia Sabah (UMS FC) mara ke suku akhir Piala Cahya Mata 2026 Peringkat Zon Sabah selepas menewaskan Kelab Bolasepak Majlis Daerah Keningau (MDK FC) 1-0 dalam aksi pusingan 16 pasukan di Padang SUKMA dekat sini Sabtu lalu.
Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, kedua-dua pasukan meneruskan persaingan sengit dibabak kedua sehinggalah kebuntuan ditamatkan jaringan tunggal penyerang UMS FC, Restu Emat pada minit ke-51.
Jaringan itu berpunca dari gerakan cantik Orlon Miranda di sebelah kiri sebelum melakukan hantaran lintang yang disudahkan dengan tenang oleh Restu untuk membawa UMS FC ke suku akhir.
Tersentak dengan jaringan itu, MDK FC menggandakan usaha dengan serangan bertali arus terutama dalam 10 minit terakhir menerusi dua bekas pemain Sabahnya, Dendy Lowa dan Justin Samaan.
Bagaimanapun UMS FC berjaya mengekang ancaman lawan itu dengan disiplin tinggi corak permainan bertahannya.
UMS FC juga berterima kasih kepada penjaga golnya, Jojet Jolius yang cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya MDK FC.
Kemenangan ini melayakkan UMS FC mara ke suku akhir dan bakal berdepan satu lagi pasukan pilihan kejohanan, PERKASA PADU FC.
Ketua jurulatih UMS FC, Mohd Asyraaf Fong Abdullah memuji semangat juang anak buahnya yang berjaya mengawal permainan dan bertahan dengan baik ketika ditekan.
“Ini kemenangan penting. Pemain ikut pelan permainan…kami sedia untuk cabaran lebih besar di suku akhir nanti,” katanya.
Pusingan suku akhir dijadualkan pada penghujung bulan ini.



