KD Alexsius
KENINGAU: Ketua Daerah N.40 Bingkor, Keningau yang baharu dilantik, Alexsius Tingadon, bertekad untuk memperkukuhkan keharmonian komuniti serta memastikan Institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) terus dihormati, diyakini dan kekal relevan dalam kalangan masyarakat Anak Negeri di N.40 Bingkor khususnya dan daerah Keningau amnya.
Beliau berkata, amanah yang diberikan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme, integriti dan keadilan, khususnya dalam memastikan segala urusan di bawah bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri dilaksanakan secara adil dan saksama dengan mengambil kira kepentingan serta keharmonian masyarakat.
“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati. Keutamaan saya adalah untuk memastikan keharmonian komuniti terus diperkukuhkan, di samping memastikan Mahkamah Anak Negeri melaksanakan tanggungjawabnya secara adil, profesional dan berintegriti,” katanya.
Menurut beliau, Mahkamah Anak Negeri mempunyai kedudukan penting dalam memelihara adat dan keharmonian serta menyelesaikan pertikaian dalam kalangan masyarakat Anak Negeri berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan.
Sehubungan itu, beliau bertekad untuk mengangkat martabat dan kewibawaan Mahkamah Anak Negeri agar institusi tersebut terus dihormati oleh seluruh lapisan masyarakat di daerah Keningau serta mampu memainkan peranan secara berkesan dalam mendepani perubahan dan cabaran semasa.
Alexsius, seorang pesara kerajaan, sebelum ini berkhidmat sebagai pengetua di beberapa sekolah menengah, termasuk SMK Penangah, Tongod, SMK Telupid, SMK Sook dan SMK Bingkor, Keningau.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada Waverly College, Iowa, Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana Pengurusan daripada Universiti Selangor (UNISEL). Beliau merupakan anak jati Kampung Bingkor, Keningau dan berasal daripada keturunan etnik Gana. Selain fasih menggunakan Bahasa Melayu, beliau boleh berbahasa Inggeris, Dusun Liwan dan bahasa ibundanya bahasa Etnik Gana.
Pengalaman beliau sepanjang berada dalam perkhidmatan awam, khususnya sebagai pengetua dalam bidang pendidikan, dilihat sebagai satu kelebihan dalam menggalas amanah baharu tersebut.
“Pengalaman sepanjang berada dalam perkhidmatan kerajaan banyak mengajar saya tentang kepimpinan, pengurusan, disiplin, integriti serta kemahiran membuat keputusan secara profesional dan berhemah. Saya akan membawa serta memanfaatkan pengalaman dan kemahiran tersebut dalam melaksanakan amanah sebagai Ketua Daerah Keningau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pemegang adat serta kakitangan yang berkhidmat di bawah Institusi Mahkamah Anak Negeri Daerah Keningau supaya sentiasa mengutamakan semangat kerja berpasukan, memperkukuhkan kerjasama serta membudayakan perkongsian pandangan dan pengalaman dalam melaksanakan tugas.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan, khususnya dalam hal ehwal adat serta enakmen-enakmen Mahkamah Anak Negeri yang terkini, bagi memastikan setiap warga kerja sentiasa kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, komunikasi yang harmoni dan kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan pengurusan serta pentadbiran Institusi Adat Anak Negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, cekap dan memenuhi keperluan masyarakat.
“Saya berharap semua warga kerja di bawah Mahkamah Anak Negeri Daerah Keningau dapat bekerja sebagai satu pasukan, saling menghormati, berkongsi pandangan dan sentiasa terbuka menerima idea serta teguran yang membina. Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan institusi ini terus relevan, diyakini dan dihormati oleh masyarakat Anak Negeri di daerah Keningau,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuhkan Institusi Mahkamah Anak Negeri bukan hanya bergantung kepada kepimpinan Ketua Daerah, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak, termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan serta pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Alexsius turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Wakil Rakyat N.40 Bingkor, Dato Sr. Mohd Ishak bin Datuk Ayub, atas cadangan serta keyakinan yang diberikan terhadap beliau untuk memegang jawatan sebagai Ketua Daerah N.40 Bingkor, Keningau.
Penghargaan turut disampaikan kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) serta Kementerian Kemajuan Tempatan dan Perumahan atas segala urusan berkaitan proses pelantikan beliau sebagai Ketua Daerah N.40 Bingkor.
“Saya amat menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh YB Dato kepada saya. Kepercayaan ini merupakan satu amanah besar yang akan saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan komitmen demi memastikan Institusi Mahkamah Anak Negeri terus dihormati serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Anak Negeri di daerah Keningau,” katanya.
Beliau turut berharap agar sokongan dan kerjasama semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat, pegawai serta kakitangan Institusi Mahkamah Anak Negeri, dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan institusi berkenaan kekal berwibawa, relevan dan menjadi salah satu tonggak penting dalam memelihara keharmonian serta kesejahteraan masyarakat di daerah Keningau.



