ADVERTISEMENTspot_img

Karnival Pra-Krismas Ranau 2026 himpun komuniti Kristian 7 November ini

Datuk Jonathan (kiri) dan Rev.Dr. Sintoh (kanan)

RANAU: Karnival Pra-Krismas Ranau 2026 yang membawa tema “Muliakan Tuhan, dari Lokal ke Global” bakal menghimpunkan komuniti Kristian di daerah ini dalam program kerohanian dan kebersamaan pada 7 November depan.

Dianjurkan Pelayanan Wanita Gereja SIB Pekan Ranau, karnival itu dijadual berlangsung pada 6 petang di Dewan Masyarakat Ranau, dengan perasmian oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.

Presiden SIB Sabah, Reverend Dr Sintoh Yusop, turut dijadual menghadiri program berkenaan.

Pengerusi Pelayanan Wanita SIB Pekan Ranau merangkap Pengerusi Karnival, Riny Nairing, berkata penganjuran itu bertujuan memberi ruang kepada komuniti Kristian menghayati makna sambutan Krismas, memperkukuh iman serta mengeratkan hubungan persaudaraan melalui muzik dan nyanyian rohani.

Antara pengisian utama ialah persembahan koir secara sing-along, nyanyian lagu Krismas dan lagu-lagu Dusun, lagu kemenangan iman serta sesi praise and worship (pujian dan penyembahan).

Karnival itu turut menampilkan penyampaian mesej Krismas oleh Reverend Jasme Dairis dan persembahan penyanyi jemputan, Arddley Nicholas.

Menurut penganjur, program berkenaan diharap dapat menyemarakkan nilai kasih, kesyukuran dan perpaduan dalam kalangan komuniti Kristian, di samping menyumbang kepada keharmonian hidup bermasyarakat dalam persekitaran masyarakat berbilang agama di Ranau.

Komuniti Kristian di daerah ini dijemput menghadiri karnival berkenaan, dengan para hadirin digalakkan mengenakan pakaian berwarna putih, merah atau hijau bersempena tema Krismas.

Penganjur turut berharap karnival itu dapat dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh persekutuan serta kerjasama antara komuniti gereja di daerah Ranau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN