Ewon
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick mahu larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar dan kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dikuatkuasakan susulan kemalangan yang meragut nyawa baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, satu perbincangan khas akan diadakan bersama agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan berkenaan sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Katanya, agensi yang akan terlibat dalam perbincangan itu termasuk Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa akibat pemunggahan kontena di Jalan Pelabuhan Sepanggar turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah.
“Susulan itu, saya akan memanggil perbincangan khas melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan meletakkan lori treler kontena di bahu jalan di KKIP dan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kawasan parkir transit treler kontena yang disediakan oleh KKIP kini sudah dibuka dan mula digunakan oleh syarikat perkhidmatan treler kontena.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat pengangkutan kontena supaya memanfaatkan kemudahan berkenaan dan tidak lagi meletakkan treler mereka di bahu jalan.
“Justeru, saya menjemput semua syarikat perkhidmatan treler kontena menggunakan kawasan parkir transit yang telah disediakan ini, bukan lagi meletakkan treler mereka di bahu jalan,” katanya.
Menurutnya, penyediaan kawasan parkir transit itu merupakan satu daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang dipantau oleh Pasukan Petugas (Task Force) yang dipengerusikannya bagi menangani isu berkaitan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Beliau berkata, pasukan petugas berkenaan dianggotai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, persatuan yang mewakili pengguna pelabuhan serta syarikat konsesi dan operator pelabuhan.
Katanya, pasukan itu turut memantau penyelarasan pelaksanaan pelan tindakan sementara bagi menangani kesesakan akibat keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada, sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan yang mempunyai lanjutan masa (EOT) sehingga Oktober 2027.



