KOTA KINABALU: Clean Earth Sabah Association (CESA) terus memperkukuh usaha mempromosikan pembangunan mampan menerusi kerjasama strategik dengan institusi pendidikan apabila menyertai Program Malaysian Classic Era anjuran Almacrest International College di sini baru-baru ini.
Program yang menghimpunkan kira-kira 200 pelajar dan pensyarah itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai amalan kehidupan lestari dengan menggabungkan penghayatan warisan budaya Malaysia bersama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 17 yang menekankan kepentingan kerjasama bagi mencapai agenda pembangunan mampan.
Setiausaha Agung CESA, Jess Joel Moriga, berkata penglibatan pertubuhan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar serta pembudayaan konsep Sustainable Living melalui kerjasama pelbagai pihak.
Menurut beliau, pendidikan mengenai kelestarian perlu diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan pembangunan masa depan.
“Kami percaya pendidikan mengenai kelestarian perlu bermula sejak di bangku sekolah. Justeru, CESA akan meneruskan inisiatif ini dengan memperluaskan program kesedaran ke sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Sabah melalui kerjasama bersama institusi pendidikan serta rakan strategik,” katanya ketika ditemui selepas program.
Pada program itu, Jess menyampaikan pembentangan mengenai peranan CESA dalam memperkukuh kesedaran alam sekitar, amalan kehidupan lestari serta kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat sebagai pemacu utama kepada pencapaian SDG.
Turut mewakili CESA ialah Bendahari Cheld Bryend, Pembantu Setiausaha Mohd Zul Alif Akmal dan Pegawai Penerangan Nazmi Che Abdullah.
Sementara itu, Ketua Akademik Almacrest International College, Rachel Joan Martin, menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil CESA sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pertubuhan itu dalam menjayakan program berkenaan.
Jess berkata kerjasama rentas sektor seperti itu bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, NGO dan komuniti dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan sejajar dengan aspirasi SDG 17.



