Masidi menerima cenderahati oleh Tinus. Turut bersama Jonathan (tiga dari kiri).
RANAU : Timbalan Ketua Menteri II Sabah YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyeru masyarakat agar menjadikan semangat Maal Hijrah sebagai pemangkin kepada transformasi diri melalui perubahan sikap, anjakan minda dan usaha berterusan ke arah kecemerlangan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penghayatan terhadap Hijrah bukan sekadar memperingati peristiwa bersejarah, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dengan sentiasa berusaha memperbaiki diri, meningkatkan ilmu, memperkukuh ekonomi keluarga serta mempertingkatkan amalan ibadah.
“Kejayaan dalam bidang pendidikan merupakan antara contoh terbaik bagaimana ia mampu mengubah masa depan seseorang.” Masidi berucap ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Ranau, di Dewan Masyarakat, disini, pada hari Jumaat.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau yang muncul sebagai MRSM terbaik di Sabah dan Sarawak serta antara MRSM terbaik di Malaysia berdasarkan keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, pencapaian pelajar Sabah yang menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) serta tajaan lain, termasuk penerima dari Ranau baru-baru ini membuktikan anak-anak negeri mempunyai potensi besar untuk mencapai kecemerlangan.
“Saya menggesa pelajar di Ranau agar terus berusaha meningkatkan prestasi akademik supaya mampu bersaing serta mencatat pencapaian yang lebih memberangsangkan.” Katanya
Sebagai galakan kepada pelajar, Masidi mengumumkan bahawa Anugerah Pelajar Cemerlang SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diperkenalkan mulai Sambutan Maal Hijrah tahun hadapan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dari daerah itu.
“Pengiktirafan itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta memberi inspirasi kepada pelajar lain yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan di daerah ini,” kata Masidi.
Mengakhiri ucapannya, Masidi berharap semangat Hijrah terus menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk membina kehidupan yang lebih maju, berilmu, harmoni, berintegriti dan berakhlak mulia.
Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau YB Datuk Jonathan Yassin, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam serta tetamu kehormat yang lain.



