David
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyifatkan pelancaran Program Solar Rakyat oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sebagai langkah tepat dalam mempercepat peralihan Sabah ke arah penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh agenda pembangunan mampan negeri.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan, berkata program itu memberi manfaat besar kepada pengguna apabila menawarkan rebat pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di kediaman, sekali gus mengurangkan kos permulaan dan menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada tenaga bersih.
Beliau berkata, pengguna yang layak dengan bekalan elektrik satu fasa akan menerima rebat RM1,000 bagi setiap kilowatt (kW) sehingga maksimum 4kW, sekali gus menjadikan penggunaan tenaga solar lebih mampu dimiliki.
“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah membolehkan pengguna menjana pendapatan menerusi penjualan lebihan tenaga ke grid Sabah Electricity melalui perjanjian selama 12 tahun.
“Pendekatan ini turut menyumbang kepada keselamatan bekalan elektrik negeri dan mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
David turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, atas pelaksanaan inisiatif yang disifatkan mesra pengguna dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim, penggunaan tenaga boleh baharu merupakan antara penyelesaian terbaik untuk mengurangkan pelepasan karbon, memelihara alam sekitar dan memastikan pembangunan yang lebih lestari.
Sehubungan itu, YPNM Sabah menggesa orang ramai yang layak supaya merebut peluang menyertai Program Solar Rakyat, sambil berharap lebih banyak inisiatif seumpamanya diperkenalkan bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang masa depan.



