ADVERTISEMENTspot_img

KRMTS Lantik Barisan Kepimpinan Baharu, Perkukuh Perpaduan dan Agenda Pembangunan Kelab

Petrus….Ketua Biro Media dan Publisiti KRMTS

KOTA KINABALU: Kelab Rekreasi Mimpaagat Tokou Sabah (KRMTS) mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi baharu bagi sesi 2026–2028 sebagai langkah memperkukuh tadbir urus organisasi serta memperkasa pelaksanaan pelbagai program rekreasi, sukan dan kemasyarakatan demi manfaat seluruh ahlinya.

Pelantikan itu disahkan selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Agung Kelab yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Biro Media dan Publisiti KRMTS, Petrus C. Mojuntin, berkata barisan kepimpinan baharu itu akan menggalas tanggungjawab meneruskan kesinambungan pembangunan kelab dengan memberi penekanan kepada pengukuhan perpaduan, peningkatan penglibatan ahli serta penganjuran aktiviti yang lebih berimpak kepada komuniti.

Beliau berkata KRMTS juga komited memperkasakan peranan kelab sebagai platform yang menyatukan ahli menerusi amalan gaya hidup sihat, semangat kesukarelawanan dan jaringan persahabatan yang lebih erat.

Bagi sesi 2026–2028, jawatan Pengerusi disandang oleh Aloysius Wong, manakala Hamdan Suarah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi. Datuk Robert Stidi pula diberi kepercayaan sebagai Penasihat kelab.

Fidelis Laikim dilantik sebagai Setiausaha Agung dengan dibantu Scholastica Thomas sebagai Penolong Setiausaha (Pematuhan dan Dokumentasi). Lim Thau Ping memegang jawatan Bendahari, manakala Jeff Leong dilantik sebagai Timbalan Bendahari merangkap Ketua Biro Keahlian. Roger A. pula dilantik sebagai Juruaudit.

Bagi memperkukuh pembangunan sukan dan rekreasi, Roy J. Kadayum mengetuai Biro Olahraga Veteran dengan dibantu Tony Willibrod sebagai Timbalan Ketua, sementara Jackson Taguah menerajui Biro Bola Sepak Veteran dan Domestik serta Daniel Roman mengetuai Biro Bola Sepak Antarabangsa.

Bryan Beverly Bernard Bai pula diberi tanggungjawab menerajui Biro Sukan Am, Rekreasi dan Bantuan Kecemasan.

Dalam aspek pembangunan organisasi dan komuniti, Annie Joe dilantik sebagai Ketua Biro Wanita, Petrus C. Mojuntin sebagai Ketua Biro Media dan Publisiti, Danny Angat sebagai Ketua Biro Kebajikan Ahli, manakala Eddy Limbang mengetuai Biro Pembangunan Hartanah dan Ekonomi.

Sementara itu, pengurusan KRMTS turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Eksekutif sesi terdahulu atas jasa, komitmen dan sumbangan dalam memacu perkembangan kelab sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan baharu diharap mampu meneruskan kecemerlangan KRMTS dengan mengutamakan nilai integriti, amanah, dedikasi dan profesionalisme, di samping memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli serta memperluaskan pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Kenyataan berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Agung KRMTS, Fidelis Laikim.

Selaras dengan slogan “Health, Friendship & Happiness”, KRMTS beriltizam untuk terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti rekreasi, sukan dan kebajikan, sekali gus memperkukuh semangat kekitaan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN