ADVERTISEMENTspot_img

PEMERKASAAN WARGA EMAS MELALUI INOVASI WAJAR DIPERKASA SELARAS AGENDA SABAH MAJU JAYA: JURRY FOO

BANGGA…… Taat, 79, dan Michael, 82, ibu bapa kepada Profesor Madya Dr. Jurry Foo, menunjukkan sijil serta pingat emas selepas muncul pemenang Pingat Emas pada pertandingan inovasi kearifan tempatan sempena Borneo Festival of Idea (BFOI).

RANAU: Usaha memperkasakan warga emas melalui inovasi berasaskan kearifan tempatan wajar diberi perhatian sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) kerana mampu menjadikan golongan itu terus produktif, kreatif dan berperanan dalam memelihara warisan budaya.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Jurry Foo berkata penglibatan warga emas dalam aktiviti inovasi bukan sahaja membuka ruang kepada mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat, malah menjadi medium penting dalam mendokumentasikan dan memelihara warisan tradisi untuk generasi akan datang.

“Misi memperkasakan warga emas melalui inovasi kearifan tempatan adalah satu langkah terbaik dalam melibatkan golongan ini sebagai warga yang produktif dan inovatif, di samping mendokumentasikan warisan tradisi masyarakat,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas kumpulan bimbingannya, Kumpulan Warisan Tradisi, yang dianggotai ibu bapanya masing-masing berusia 79 dan 82 tahun, meraih Pingat Emas serta Anugerah Ilham Tradisi pada pertandingan inovasi kearifan tempatan sempena Borneo Festival of Idea, anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dengan kerjasama UMS.

Menurut Jurry, dari perspektif Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), penyertaan warga emas dalam aktiviti inovasi dan penciptaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mapan 3 (SDG 3), iaitu memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua, khususnya melalui peningkatan kesihatan mental, kesejahteraan emosi dan penglibatan aktif dalam komuniti.

Beliau berkata platform seperti pertandingan inovasi berasaskan kearifan tempatan mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan golongan warga emas menerusi penyediaan ruang untuk mereka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran tradisional.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pertandingan inovasi yang melibatkan warga emas dijadikan antara inisiatif kebajikan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, melengkapkan program sedia ada seperti Bantuan Orang Tua (BOT) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Katanya, langkah berkenaan bukan sahaja memperkukuh agenda pembangunan sosial negeri, malah mampu mewujudkan ekosistem yang menggalakkan warga emas terus aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui inovasi dan pemeliharaan warisan budaya.

Jurry berkata beliau bersedia menyumbang kepakaran sebagai ahli akademik UMS dalam membantu kerajaan negeri merangka dasar dan perancangan berkaitan pemerkasaan warga emas sekiranya cadangan itu direalisasikan.

Sementara itu, beliau berkata Kumpulan Warisan Tradisi akan mewakili Malaysia pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang dijadual berlangsung Oktober depan dengan mengetengahkan produk inovasi yang menggabungkan warisan budaya masyarakat Lotud dari Tuaran dan Dusun Ranau.

Katanya, inovasi berkenaan melambangkan perpaduan serta keindahan silang budaya Sabah, selain membuktikan bahawa warisan tradisi mampu diangkat sebagai sumber inovasi yang mempunyai nilai di peringkat global.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN