ADVERTISEMENTspot_img

KAR promosi Kadamaian sebagai destinasi pelancongan Sabah: Ewon

Ewon (tengah) menyampaikan sumbangan CIS sebanyak RM25,000 kepada Javadius.

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata penganjuran Kadamaian Adventure Race (KAR) Ultra setiap tahun berupaya mempromosikan Kadamaian sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Sabah.

Beliau berkata, ini kerana perlumbaan ultra trail itu berjaya menarik lebih 2,300 pelari tempatan dan antarabangsa, antaranya dari Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun, India, Amerika Syarikat, Great Britain dan Romania.

“Saya melihat peningkatan ketara mutu penganjuran KAR yang sudah tentunya dapat mempromosikan Kadamaian sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sabah.

“Tahniah kepada Pengerusi Penganjur, Javadius Bollah serta barisan jawatankuasa, sukarelawan dan semua rakan strategik yang menjayakan penganjuran KAR dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Kadamaian Adventure Race (KAR) Ultra 2026 bagi kategori 160 kilometer, 80 kilometer dan 35 kilometer di Kampung Tambatuon, Kadamaian, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, selain menjadi platform pelancongan sukan, acara itu turut merancakkan ekonomi komuniti setempat termasuk pengusaha rumah penginapan, tapak perkhemahan, perkhidmatan pengangkutan dan peniaga.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Cement Industries Sabah (CIS) Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), sebanyak RM25,000 bagi membantu menjayakan penganjuran KAR 2026.

“Saya menghargai sumbangan CIS dan berharap sektor korporat terus memberikan sokongan bagi memastikan acara seperti KAR dapat terus diperkasakan dan berkembang sebagai antara acara sukan pelancongan utama di Sabah,” katanya.

Bagi kategori paling mencabar 100 Miles (100M) Lelaki Terbuka, Wilsen Singgin muncul juara selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 27 jam 38 minit 2.7 saat, mengatasi Mellveen Darius di tempat kedua (28:52:45.5) dan Azman Salama di tempat ketiga (29:24:54.6).

Dalam kategori 100 Miles Wanita Terbuka, Nurul Emyra Fazira Isnariah Absi merangkul kejuaraan dengan catatan masa 34 jam 5 minit 3.6 saat, diikuti Siriporn Leumathong dari Thailand di tempat kedua (36:28:39.0) dan Shamiera Auther di tempat ketiga (38:00:50.1).

Bagi kategori 80 Kilometer Lelaki Terbuka, Milton Bin Amat menjuarai perlumbaan dengan masa 11 jam 38 minit 10.7 saat, manakala Jude Maikol dan Willy Wilson Jafry masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kategori 80 Kilometer Wanita Terbuka pula dimenangi Hasnita Binti Asis dengan catatan 14 jam 42 minit 4.0 saat, diikuti Harlin Richard dan Amilisah Laisang.

Dalam kategori veteran, Gustin Tiam muncul juara 80 Kilometer Lelaki Veteran selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 12 jam 23 minit 22.5 saat, sementara Kona Liau A Ken menjuarai 80 Kilometer Wanita Veteran dengan catatan 17 jam 7 minit 0.2 saat.

Sementara itu, kategori 35 Kilometer Lelaki Terbuka dimenangi Daved Simpat dengan masa 3 jam 58 minit 54.8 saat, diikuti Donal Ronaldi dan Aznil Faez Ismail.

Bagi kategori 35 Kilometer Wanita Terbuka, Felecia Sounam muncul juara dengan catatan 6 jam 10 minit 24.1 saat, manakala Stencie Kimus dan Stephanie Gelawit melengkapkan kedudukan tiga terbaik.

Kategori 35 Kilometer Lelaki Veteran pula dimenangi Ireneus Subil dengan masa 4 jam 45 minit 10.6 saat, sementara Rose Binti Gimbaloh muncul juara 35 Kilometer Wanita Veteran selepas mencatat masa 7 jam 22 minit 47.6 saat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN