Ewon menyempurnakan gimik perasmian Ulang Tahun Ke-33 SAFFLA, di Dewan Hakka, di sini, pada Sabtu.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick komited untuk terus memberikan kepimpinan dalam menangani isu-isu berkaitan pelabuhan di Sabah dengan melibatkan semua pemegang taruh.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui kementeriannya tidak pernah menolak pandangan yang dikemukakan oleh pemain industri, termasuk Sabah Freight Forwarders and Logistics Association (SAFFLA), dalam usaha menambah baik perkara berkaitan kecekapan operasi pelabuhan di negeri ini.
“Kita telah memperkenalkan 10 langkah penyelesaian interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan siap. Langkah-langkah ini mungkin belum sempurna, namun ia sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan penglibatan semua pihak berkaitan.
“SAFFLA sendiri merupakan antara ahli dalam Task Force yang saya pengerusikan bagi memantau pelaksanaan 10 langkah tersebut. Mereka sentiasa memberikan pandangan yang membina dan kita menghargai setiap cadangan yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 SAFFLA, di Dewan Hakka, di sini, pada Sabtu.
Katanya, antara langkah yang sedang diambil termasuk memindahkan operasi kenderaan roll-on roll-off (Ro-Ro), membangunkan kawasan penyimpanan kontena tambahan serta menambah baik infrastruktur dan operasi pelabuhan.
Selain itu, katanya, Kementeriannya turut meneliti rayuan berkaitan semakan caj pelabuhan yang dibangkitkan oleh SAFFLA.
“Kerajaan juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta semua agensi berkaitan bagi merealisasikan operasi 24 jam di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
“Kita mahu memastikan keseluruhan ekosistem ini memberi situasi menang-menang kepada semua pemegang taruh. Tugas saya sebagai pemimpin ialah memastikan penyelesaian dapat dicapai dan saya telah memberikan komitmen,”katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan, agensi, jabatan, pemain industri serta persatuan pengguna pelabuhan amat penting dalam memperkukuh sektor logistik dan perdagangan Sabah.
Dalam pada itu, Ewon berkata, kerajaan juga terus memperkukuh kemudahan pelabuhan di negeri ini bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Minggu hadapan kita akan menerima dua buah kren baharu untuk Pelabuhan Tawau dan Lahad Datu, selain terus melihat keperluan menambah kelengkapan di pelabuhan-pelabuhan lain.
“Saya berharap menjelang akhir tahun hadapan, sebahagian besar isu yang berkaitan dengan pelabuhan di Sabah dapat diselesaikan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Presiden SAFFLA, Dato Johnson Dai serta seluruh barisan kepimpinan dan ahli-ahli persatuan atas kejayaan menganjurkan sambutan ulang tahun ke-33 yang turut bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan Wisma SAFFLA.
Beliau berkata, kerajaan menghargai sumbangan besar SAFFLA dalam rantaian ekonomi Sabah dan akan terus menyokong pembangunan industri logistik melalui kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri.



