JUARA……..Kontinjen MSSD Tawau muncul juara Kejohanan Sukan Olahraga Peringkat Negeri Sabah (MSSS) Kali Ke-58 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Ranau.
Oleh: Salwah Aramat & admin
RANAU: MSSD Tawau muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) Kali Ke-58 Tahun 2026 selepas mengungguli saingan yang berlangsung selama lima hari di Kompleks Sukan Ranau.
Kejohanan yang berlangsung dari 20 hingga 24 Julai itu menghimpunkan atlet sekolah daripada 24 daerah di seluruh Sabah, dengan para peserta mempamerkan persaingan sengit serta semangat kesukanan tinggi dalam pelbagai acara balapan dan padang.
MSSD Kota Kinabalu menamatkan saingan sebagai naib juara keseluruhan, manakala MSSD Tambunan berada di tempat ketiga.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Johari @ Joe Suhaimin, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Dalam ucapan beliau yang dibacakan Johari, Masidi merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau selaku pengelola, agensi kerajaan, guru, pegawai teknikal dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran kejohanan itu.
Beliau berkata kejohanan MSS Sabah terus menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu olahraga, selain membentuk sahsiah, disiplin serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi pelapis atlet negeri dan negara.

TAHNIAH… Olahragawan dan Olahragawati MSS Sabah Ke-58 bergambar bersama Barizah dan Muddin selepas menerima anugerah masing-masing pada Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Ke-58 di Ranau.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (Sektor Pembangunan Murid), Muddin Beting, yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin, memuji komitmen semua kontinjen sepanjang kejohanan berlangsung.
Beliau turut menggesa atlet yang terpilih mewakili Sabah ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Pahang agar meningkatkan persiapan dan latihan bagi memastikan prestasi terbaik di peringkat kebangsaan.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd Kahar, berkata kejayaan penganjuran di Ranau adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, petugas dan masyarakat setempat.
Beliau turut menyifatkan pencapaian atlet yang berjaya memecahkan beberapa rekod baharu sepanjang kejohanan sebagai bukti perkembangan positif pembangunan sukan olahraga sekolah di Sabah.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian piala, pingat dan sijil kepada kontinjen serta atlet yang cemerlang, sekali gus mengiktiraf usaha gigih atlet bersama guru dan jurulatih masing-masing.
Pada majlis sama, Muddin turut mengumumkan Tawau sebagai tuan rumah Kejohanan Olahraga MSS Sabah Kali Ke-59 yang dijadual berlangsung pada 2027.
Penganjuran edisi ke-58 di Ranau disifatkan berjaya mencapai matlamat pembangunan sukan sekolah di samping mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga pendidikan daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh Sabah..



