Nut Aleesya (kiri) bersama kembarnya Ariesya dan Aiqal (tengah) yang berjaya meraih pingat gangsa di kejohanan tersebut.
LABUAN: Pasangan Kembar dari Wilayah Persekutuan Labuan mencipta sejarah apabila berjaya meraih dua pingat gangsa untuk kontijen Malaysia pada Kejohanan 13th South East Asian Karate Federation (SEAKF) Championship 2026 yang diadakan di Minh Binh Vietnam baru baru ini.
Nur Ariesya Dayana Asmadie dan Nur Aleesya Dayana Asmadie, yang membuat penampilan sulung di kejohanan itu membuahkan hasil apabila masing-masing berjaya menyumbangkan pingat gangsa dalam acara Individu Kumite Kadet Perempuan (14–15 tahun) bawah 47kg, dan Individu Kumite Kadet Perempuan (14–15 tahun) bawah 54kg.
Seorang lagi atlet, Diya Khalish Kasryanto, turut mencatat kejayaan apabila memenangi pingat gangsa dalam acara Individu Kumite Junior Perempuan (16–17 tahun) bawah 66kg.
Dalam pada itu, Muhammad Aiqal Bin Asmadie turut menyumbang satu lagi pingat gangsa menerusi acara Kata Berpasukan Lelaki bersama rakan sepasukannya.
Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi yang turut mewakili Malaysia dalam kejohanan berprestij itu menamatkan saingan di tempat kelima selepas mempamerkan persembahan yang membanggakan.
Pasukan turut diiringi oleh Sensei Syarulniza Binti Abdul Jamil, yang bertugas sebagai jurulatih Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
Sementara itu, Syarulniza berkata pencapaian ini bukan sahaja membuktikan potensi besar atlet-atlet muda negara, malah menjadi satu suntikan semangat dalam usaha melahirkan lebih ramai karateka yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.



