KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan (MoF) serta agensi Persekutuan berkaitan bagi meneliti mekanisme penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah yang mula diperluaskan bulan ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, mesyuarat susulan antara agensi Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi Persekutuan berkaitan akan diadakan pada 17 Julai ini, dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah yang bermula pada 1 Julai lalu turut menjadi antara agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai.
“Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berhubung pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah.
“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan Malaysia bersama agensi kerajaan berkaitan telah diarahkan supaya memperincikan isu-isu yang dibangkitkan serta meneliti cadangan yang bersesuaian bagi menangani permasalahan yang dihadapi oleh golongan yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat serta sektor-sektor yang bergantung kepada penggunaan diesel.



