Infografik
KOTA KINABALU: Orang awam berpeluang mempelajari kaedah mengenal pasti pelbagai spesies tumbuhan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi kursus dalam talian percuma yang akan diadakan pada 20 Julai ini.
Program bertajuk “Penggunaan Aplikasi AI Dalam Mengenal Pasti Tumbuhan Untuk Orang Awam” itu dianjurkan bersama oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan National Training Week (NTW).
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS, Prof. Madya Dr. Jurry Foo @ Jurry bt. F. Michael, berkata kemajuan teknologi AI kini membolehkan masyarakat memperoleh maklumat berkaitan tumbuhan dengan lebih mudah hanya menggunakan telefon pintar.
Beliau yang juga merupakan penceramah kursus berkenaan, HRD Corp Certified Train-the-Trainer (TTT), berkata aplikasi seperti Google Lens mampu membantu pengguna mengenal pasti spesies tumbuhan melalui imej yang dirakam, sekali gus memaparkan maklumat asas seperti nama saintifik, nama tempatan, ciri-ciri serta kegunaan tumbuhan dalam tempoh yang singkat.
“Penggunaan AI bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran, malah dapat meningkatkan literasi digital masyarakat serta menggalakkan orang ramai mengenali biodiversiti yang terdapat di persekitaran mereka,” katanya.
Menurut beliau, antara objektif utama kursus itu ialah meningkatkan kefahaman peserta mengenai penggunaan AI dalam kehidupan harian, memperkukuh literasi AI serta memperkenalkan kaedah mengenal pasti tumbuhan secara lebih sistematik dan mesra pengguna.
Beliau berharap penggunaan aplikasi AI secara beretika dapat dimanfaatkan secara meluas bagi memudahkan urusan harian, selain membantu masyarakat menghargai kepelbagaian flora di persekitaran mereka.
Kursus yang terbuka kepada orang awam itu akan diadakan secara dalam talian pada 20 Julai, dari 9 pagi hingga 12 tengah hari, dengan penyertaan adalah percuma.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar sebelum 17 Julai melalui borang pendaftaran yang disediakan oleh pihak penganjur. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Cik Elly di talian 013-2508145 atau En. Mixsius di 011-51454370.



