EWON BENEDICK
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mahu supaya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memastikan institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Sabah turut mendapat manfaat daripada peruntukan pembangunan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri di negeri Sabah.
Beliau berkata, sokongan itu penting ketika kadar pengangguran di Sabah berada pada 5.5 peratus, tertinggi di Malaysia, berbanding purata nasional 2.9 peratus.
Katanya, Kerajaan Sabah sedang merancang pembangunan taman perindustrian baharu di Kota Belud, Kudat, Beaufort dan Sandakan, selain KKIP, SOGIP dan POIC yang sedia ada.
“Pembangunan perindustrian di Sabah sesungguhnya memerlukan sokongan dan kerjasama Kementerian terutama dalam membangunkan skilled workers yang boleh memenuhi pasaran atau kehendak perusahaan di Sabah,” katanya ketika membahaskan peruntukan KESUMA pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Ewon berkata, institusi latihan kemahiran dan TVET di Sabah memerlukan penyelarasan yang lebih proaktif supaya program yang ditawarkan menepati keperluan sebenar industri, termasuk dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
“Saya berharap institusi-institusi TVET di Sabah ini akan mendapat sokongan peruntukan di bawah Butiran 00600 – Pembangunan Kemahiran yang diperuntukkan sebanyak RM468.107 juta, Butiran 020200 – Pembangunan Kemahiran dan Pengiktirafan yang diperuntukkan sebanyak RM84.345 juta dan Butiran 020100 – Pembangunan Tenaga Manusia yang diperuntukkan RM385.174 juta,” katanya.
Beliau turut meminta KESUMA menyatakan jumlah institusi TVET tempatan di Sabah yang telah menerima dana untuk melaksanakan program pembangunan kemahiran serta mengesahkan sama ada institusi dari luar Sabah turut melaksanakan program berkenaan di negeri itu.
“Saya juga mencadangkan supaya satu mekanisme dibangunkan bagi institusi-institusi TVET ini bekerjasama dengan universiti pilihan mereka bagi mengeluarkan sijil-sijil kemahiran TVET kepada graduan mereka,” katanya.
Ewon merakamkan penghargaan kepada KESUMA, khususnya Timbalan Menteri Sumber Manusia, atas persetujuan membantu dan memudah cara pembangunan KKIP Aerospace Training Centre sebagai pusat latihan TVET di KKIP.
Beliau turut menggesa KESUMA menyokong Montfort Youth Training Centre (MYTC) Sabah, yang menggunakan bahasa Inggeris dalam modul TVET bagi meningkatkan daya saing graduannya di pasaran kerja.
Katanya, Gain Forlife Academy, ESTC Academy dan Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) juga wajar mendapat sokongan berterusan kerana institusi berkenaan telah melaksanakan pelbagai modul TVET dan membantu graduan memperoleh pekerjaan.
Dalam perbahasan sama, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada KESUMA dan semua pihak yang terlibat dalam pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak, yang menurutnya menyelesaikan satu daripada perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut mencadangkan sebuah Pusat Rehabilitasi PERKESO dibangunkan di Sabah bagi menyediakan perkhidmatan seperti yang ditawarkan di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak.
Ewon juga menyokong Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) PERKESO untuk pekerja ekonomi gig, pemandu e-hailing, penjaja dan peniaga kecil, petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja kreatif bebas serta pelajar yang bekerja sambilan.
“Saya berharap KESUMA dapat meneruskan pemberian subsidi caruman dan memperluaskan kempen mencarum PERKESO ini,” katanya.
Menyentuh peruntukan RM150 juta bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di bawah Butiran 00201, Ewon berharap masyarakat India di Sabah turut mendapat manfaat, termasuk melalui sokongan kepada kuil Hindu yang berpotensi dijadikan destinasi ziarah keagamaan seperti Kuil Sri Subramaniar di Kinarut, Putatan dan Kuil Sri Shivan Alayam di Kota Belud.



