Victor ketika ditemui media di Tambunan
TAMBUNAN: Permohonan bagi melaksanakan projek menaik taraf jalan-jalan kebun dan pertanian di Tambunan daripada jalan berbatu (gravel) kepada jalan konkrit telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta membantu komuniti petani di daerah itu.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah – Tambunan , Dato’ Victor P. Paut berkata, sebanyak 30 cadangan projek telah dipohon bagi pelaksanaan tahun ini yang merupakan aspirasi masyarakat di kawasan itu khususnya golongan petani dan peladang.
Katanya, sekiranya permohonan itu mendapat kelulusan dan peruntukan daripada pihak berkaitan, pelaksanaan projek akan diteruskan secara berfasa dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Permohonan untuk tujuan itu telah kita kemukakan pada bulan ini kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan selain kepada agensi dan kementerian Persekutuan termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Ekonomi.
“Kita telah memohon sebanyak 30 projek jalan kebun dan pertanian untuk dinaik taraf daripada jalan gravel kepada jalan konkrit dan berharap mendapat respon yang baik daripada pihak berkaitan agar peruntukan dapat disalurkan bagi melaksanakan projek tersebut.
“Jika berjaya, kita akan meneruskan pelaksanaan fasa kedua dan seterusnya dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Toboh, di sini. (14 Julai)
Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, projek yang dicadangkan melibatkan pelbagai jajaran jalan mengikut keperluan setiap kampung dengan panjang antara 300 meter hingga satu kilometer bagi setiap fasa pelaksanaan.
Katanya, terdapat juga laluan yang mempunyai panjang keseluruhan antara dua hingga empat kilometer (km) dan jika digabungkan, keseluruhan cadangan projek itu berpotensi mencecah sehingga kira-kira 100 km.
Pada masa sama katanya, projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk di sekitar 111 kampung di seluruh kawasan Tambunan.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur khususnya jalan kebun perlu diberi perhatian memandangkan Tambunan merupakan daerah pertanian yang bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber ekonomi utama penduduk.
“Tidak ada gunanya kita bercakap mengenai politik jika masyarakat yang kita wakili masih berdepan kesukaran menggunakan jalan kebun yang rosak untuk membawa hasil pertanian mereka keluar ke pasaran.
“Sebab itu kita mempunyai perancangan besar untuk memajukan Tambunan, khususnya dalam sektor pertanian yang menjadi nadi ekonomi daerah ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perancangan lain termasuk usaha memodenkan sistem pengairan di Tambunan bagi membolehkan petani meningkatkan produktiviti dan mengusahakan tanaman padi lebih daripada sekali setahun.
Selain padi, katanya, inisiatif pembangunan itu turut memberi manfaat kepada pengusaha tanaman lain termasuk kelapa sawit, getah, durian dan pelbagai tanaman yang banyak diusahakan di daerah berkenaan.
“Kita berharap melalui bantuan dan sokongan kerajaan, usaha menaik taraf jalan kampung dan jalan kebun daripada jalan gravel kepada jalan konkrit dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan sektor pertanian di Tambunan,” katanya.



