KOTA KINABALU : Pelancaran Hub Inkubasi Pengkomersilan Universiti Malaysia Sabah (CIPTA@UMS) membuktikan komitmen UMS dalam memperkasa ekosistem pengkomersilan penyelidikan yang lebih dinamik, progresif dan berimpak tinggi.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk memacu ekonomi berteraskan inovasi, universiti bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula dan syarikat terbitan atau Start-Up Spin-Off (SUSO).
“Landskap global hari ini sedang mengalami perubahan pantas didorong kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Dalam mendepani persekitaran yang kompetitif ini, sesebuah Institusi Pendidikan Tinggi hendaklah melangkaui fungsi konvensional yang sekadar bertindak sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan semata-mata.
“Universiti pada era ini memikul tanggungjawab mendesak untuk bertindak sebagai pemangkin penciptaan nilai ekonomi, peneraju inovasi dan tulang belakang kepada pembangunan industri serta masyarakat.
“Kecemerlangan sesebuah universiti tidak lagi diukur bersandarkan metrik penerbitan akademik atau kuantiti graduan semata-mata tetapi dilihat dari segi keupayaan menterjemahkan hasil penyelidikan ke dalam bentuk produk, teknologi, perkhidmatan dan penubuhan syarikat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Hub Inkubasu Pengkomersilan CIPTA@UMS di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS di sini, pada Khamis.
Menurut Abdul Rahman, CIPTA@UMS akan berfungsi sebagai hab sehenti komprehensif yang menyokong rantaian hayat pembangunan teknologi di bawah SUSO dari perlindungan harta intelek, pembangunan prototaip, market validation sehinggalah ke fasa pengkomersilan.
“Inisiatif ini selaras dengan komitmen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam agenda pemerkasaan penyelidikan dan inovasi.
“Namun begitu, kita sedar kelangsungan sesebuah syarikat sentiasa berdepan dengan risiko kegagalan yang tinggi atau dipanggil Valley of Death.
“Oleh yang demikian, Lembaga Pengarah Universiti menyambut baik dasar proaktif Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya menerusi inisiatif pengenalan Skim Geran Pemecutan Syarikat Pemula dan Syarikat Terbitan & Accelerator atau SUSOA bermula tahun ini,” ujarnya.
Beliau menyeru para inovator dan bakal usahawan UMS supaya segera merebut dan memanfaatkan skim geran tersebut dengan menjadikan CIPTA@UMS sebagai pusat operasi dan inkubasi utama.
Dalam majlis berkenaan, turut diadakan penyerahan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Tahun 2025 dan Watikah Kelulusan Syarikat Pemula Fasa 1/2026.
Hadir sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Samasuddin Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd., Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir Dr. Rosalam Sarbatly./Penerangan-



