Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik melakukan gimik pelancaran Tabung Kebajikan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor.
BINGKOR: Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor melakar satu lagi inisiatif kebajikan apabila melancarkan Tabung Kebajikan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor bagi memperkukuhkan peranan institusi itu sebagai pusat ibadah, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Tabung berkenaan dilancarkan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, bersempena Majlis Hari Keluarga Raya Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang berlangsung di Dewan Perdana masjid itu, hari ini.
Berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata penubuhan tabung itu bertujuan menyediakan saluran kebajikan yang lebih tersusun bagi membantu golongan memerlukan dalam kalangan masyarakat setempat.
Katanya, antara kumpulan sasaran yang bakal menerima manfaat daripada tabung berkenaan ialah asnaf, warga emas, ibu tunggal, anak yatim, mangsa bencana atau musibah serta keluarga yang berdepan kesulitan hidup.
“Masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, sebaliknya menjadi pusat penyatuan ummah yang menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli kariah, para dermawan, syarikat korporat dan masyarakat setempat bersama-sama menyokong tabung berkenaan menerusi sumbangan dan infak mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, setiap sumbangan yang dihulurkan, walaupun kecil nilainya, mampu membawa manfaat besar kepada golongan memerlukan di samping menjadi amal jariah yang berpanjangan.
“Melalui tabung ini, kita berharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, bersatu dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Semangat gotong-royong dan kebersamaan ini perlu terus dipupuk demi kesejahteraan komuniti,” katanya.
Majlis pelancaran itu menjadi antara pengisian utama sambutan Hari Keluarga Raya Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang membawa tema ‘Raya Santai, Keluarga Bahagia’, dengan pelbagai aktiviti diadakan bagi mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat setempat.
Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor berharap Tabung Kebajikan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor akan menjadi platform berterusan dalam membantu golongan memerlukan, sekali gus memperkasakan fungsi masjid sebagai institusi pembangunan ummah dan kebajikan masyarakat.



