GIMIK……..Detik bersejarah gimik perasmian Dewan Kampung Penulangon yang disempurnakan oleh Datuk Jonathan Yasin.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Pembinaan Dewan Kampung Penulangon dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kemudahan baharu itu akan berfungsi sebagai pusat aktiviti masyarakat yang dapat dimanfaatkan untuk penganjuran program kebudayaan, pendidikan, kemasyarakatan serta pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Kampung Penulangon sempena Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Penulangon yang berlangsung meriah baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Jonathan merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta seluruh penduduk Kampung Penulangon atas komitmen dan semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam merealisasikan pembinaan dewan berkenaan.
“Prasarana seperti dewan kampung bukan sahaja menyediakan ruang untuk aktiviti komuniti, malah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan, semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan penduduk,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa sambutan Pesta Kaamatan perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya yang menjadi lambang penghargaan terhadap hasil tuaian selain mencerminkan identiti, keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Jonathan turut menggesa golongan muda agar terus menghargai, memelihara dan memartabatkan adat resam serta budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu supaya tidak luput ditelan arus pemodenan.
Sambutan Kaamatan itu dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional dan aktiviti komuniti yang melibatkan penyertaan penduduk daripada pelbagai lapisan umur.
Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara penduduk selain mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian dan kerjasama yang terus kukuh dalam kalangan masyarakat Kampung Penulangon.



