TERIMA KASIH …. pengerusi JKKK Kg Narayat, Loudis Okom (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Rockey (tengah) sambil disaksikan Ketua Kampung, Joachim Saradan (kiri).
TAMBUNAN: Semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras masyarakat luar bandar perlu terus dipelihara dan tidak seharusnya pudar sebaik sahaja perayaan Pesta Kaamatan berakhir.
Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Daerah Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin berkata, Pesta Kaamatan bukan sekadar platform untuk bersukaria dengan paluan gong dan tarian Sumazau, sebaliknya ia merupakan simbol kesyukuran, kebangkitan semula, dan penyatuan komuniti.
“Semangat “Mitatabang” harus sentiasa mekar di dalam komuniti kita, tanpa mengira apa pun acara, kerana selain Kaamatan, ini juga sudah menjadi tradisi nenek moyang kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Narayat, Tambunan bagi tahun 2026 yang berlangsung meriah di sini, kelmarin.
Menyentuh mengenai tema perayaan, “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, Dr. Rockey menjelaskan bahawa proses menuai perpaduan adalah sama seperti mengusahakan sawah padi yang memerlukan titik peluh bersama dan semangat “mitatabang” (gotong-royong).
“Perpaduan tidak datang bergolek. Ia perlu disemai dengan kasih sayang, dijaga dengan toleransi, dan hari ini, hasil daripada kebersamaan itu, kita mampu ‘menuai’ sebuah ikatan persaudaraan yang utuh dalam kalangan warga Kampung Narayat,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Daerah Tambunan terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kehijauan sawah padinya, nilai keindahan yang paling utama dan menjadi benteng kekuatan sebenar kawasan tersebut adalah keharmonian penduduknya.
“Walau berbeza latar belakang, usia, mahupun fahaman, hari ini kita dapat duduk sebaris, makan semeja, dan tersenyum bersama. Inilah keharmonian sebenar.
“Saya berharap agar semangat Kaamatan ini tidak padam begitu sahaja.
“Bawalah ia ke dalam kehidupan seharian dan jadikanlah Kampung Narayat sebagai contoh sebuah kampung yang bersatu padu dan progresif, namun tetap teguh memegang akar budaya serta adat resam kerana kehilangan budaya dan tradisi adalah sama kehilangan erti kehidupan sebagai bangsa KDMR,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Penganjur, Loudis Okom, Joachim Saradon, serta seluruh jawatankuasa dan warga Kampung Narayat atas usaha murni menganjurkan sambutan yang penuh bermakna itu.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Sugandoi, Unduk Ngadau Kanak-Kanak, cabutan bertuah, masakan tradisi, sukaneka dan banyak lagi.



