ADVERTISEMENTspot_img

PROGRAM UPPM BERSAMA SPRM DAN SEKRETARIAT SABAH MAJU JAYA PERKUKUH BUDAYA INTEGRITI DI PERINGKAT AKAR UMBI

SANDAKAN: Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini.

Program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 900 peserta dari lima kawasan Parlimen iaitu Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan, melibatkan DUN Labuk, Sugut, Telupid, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Sekong, Karamunting, Elopura, Tanjong Papat, Lamag dan Sukau.

Peserta terdiri daripada warga UPPM, Ketua Kampung, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kapitan, Ketua Anak Negeri (KAN) serta Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Program ini telah dihadiri oleh Datu Hadzizan Suli, Pegawai Tadbir UPPM Negeri Sabah yang mewakili Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; serta Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan Masyarakat Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Aini Awang Muda.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integriti, pencegahan rasuah serta pengukuhan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Selain itu, peserta turut diberikan penerangan mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menekankan agenda pembangunan mampan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Usaha memperkukuh kefahaman mengenai integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara telus, amanah dan berkesan.

Program ini mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk terus memupuk budaya kerja berintegriti serta melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri yang lebih progresif selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN