Program Literasi Air Bersih
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) terus memperkukuh tanggungjawab sosial terhadap komuniti melalui pelaksanaan Program Santunan Kasih 4.0 di Madrasah Al-Muqarammah, Kampung Kuala Baru, Jalan Sepanggar, baru-baru ini.
Program berimpak tinggi itu dianjurkan oleh mahasiswa Kursus Kepimpinan dan Motivasi Seksyen 1 BAKTISISWA (EK00303) di bawah inisiatif Student for Society (S4S) dengan bimbingan jurulatih kursus, Dr. Colonius Atang.
Inisiatif berkenaan memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, pendidikan tidak formal dan pemindahan ilmu kepada masyarakat, khususnya generasi muda, selaras dengan aspirasi UMS sebagai “The Brain of Borneo” dalam melahirkan mahasiswa holistik, berdaya saing dan berjiwa prihatin.
Program hasil kerjasama UMS bersama Coway, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Madrasah Al-Muqarammah itu melibatkan penyertaan 30 murid menerusi pelbagai aktiviti berteraskan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Antara pengisian utama program ialah aktiviti kesedaran hidupan liar dan kepentingan menjaga kualiti sumber alam bagi memupuk penghargaan terhadap biodiversiti Borneo dalam kalangan peserta.
Selain itu, aspek sosial turut diberi penekanan melalui pendekatan pembelajaran interaktif yang bertujuan membina keyakinan diri, kemahiran interpersonal dan kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa serta peserta program.

Literasi hidupan liar oleh pihak Bomba
Bagi memastikan keberkesanan penyampaian, mahasiswa menggunakan pendekatan pedagogi pembelajaran taktil berasaskan pengalaman secara langsung yang dilihat lebih efektif berbanding pembelajaran teori di bilik kuliah.
Program “Saya Sihat, Saya Ceria” kendalian Coway memberi pendedahan mengenai kepentingan air bersih dan kaedah pengujian kualiti air bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan jangka panjang.
Sementara itu, aktiviti “Duit Seringgit, Lama-lama Jadi Bukit” memperkukuh literasi kewangan kanak-kanak menerusi simulasi interaktif pengurusan wang saku yang membezakan aspek keperluan dan kehendak.
Turut diadakan ialah program “Wira Rimba Bersama Bomba” bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang memberi pendedahan berkaitan keselamatan komuniti, pengendalian haiwan liar serta kepentingan pemeliharaan biodiversiti dan alam sekitar.
Pengarah PKPP UMS, Dr. Jurry Foo, ketika merasmikan program itu berkata inisiatif khidmat komuniti berkenaan selari dengan Lensa 1 UMS yang menekankan pembinaan insan sebagai pembentuk masa hadapan.
Beliau berkata model S4S merupakan wadah terbaik dalam melahirkan graduan “kalis masa hadapan” yang seimbang, berdaya saing dan berjiwa komuniti.
“Kolaborasi strategik bersama rakan industri seperti Coway dan agensi kerajaan seperti pihak bomba membuktikan ekosistem pendidikan UMS bersifat terbuka dan inklusif.
“Melalui pengalaman lapangan ini, mahasiswa bukan sahaja mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi, malah menterjemahkan nilai ESG ke dalam tindakan nyata yang memberi impak terus kepada masyarakat,” katanya.
Program Santunan Kasih Mahasiswa ke Madrasah 4.0 itu turut dihadiri Guru Besar Madrasah Al-Muqarammah, Sitti Tasdia Mohamad Yakil.
Program berkenaan melabuhkan tirai dengan jayanya sekali gus memperkukuh peranan UMS dalam mendekati masyarakat menerusi inisiatif pemindahan ilmu dan pembangunan komuniti di Sabah.



