Steven (kiri) mendapatkan suntikan influenza percuma.
KOTA KINABALU : Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu menawarkan pemberian vaksin influenza percuma kepada warganegara berusia 50 tahun ke atas.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan (KK) Telipok, Dr Nur Farahin Mohd Din berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan risiko komplikasi kesihatan terutama jangkitan berkaitan paru-paru dalam kalangan warga emas.
“Kalau di Klinik swasta boleh mencecah sekitar RM90, namun kerajaan menyediakannya secara percuma kepada golongan layak sebagai langkah perlindungan awal.
“Usaha ini penting supaya warga emas terutama di kawasan kampung tidak tercicir daripada mendapatkan perlindungan kesihatan.
“Kita membawa bekalan terhad, namun sasaran kita sekurang-kurangnya lebih 50 penerima menjelang petang nanti,” katanya ketika ditemui semasa Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI, pada Sabtu.

Dr. Nur Farahin ketika Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI.“Usaha ini penting supaya warga emas terutama
Katanya, vaksin influenza berkenaan turut ditawarkan di klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
Selain pemberian vaksin, program itu juga menyediakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), tekanan darah dan paras gula dalam darah.
“Jika terdapat bacaan yang membimbangkan, kita akan keluarkan surat rujukan untuk pemeriksaan susulan termasuk ujian gula puasa,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan turun padang ke kawasan kampung amat penting kerana masih ramai masyarakat kurang mengetahui mengenai perkhidmatan kesihatan yang disediakan kerajaan.
“Kadang-kadang apabila promosi dibuat di klinik, masih ada penduduk kampung yang tidak tahu mengenai kemudahan ini.

Sebahagian penduduk menunggu giliran saringan kesihatan.
“Jadi melalui program komuniti seperti ini, kita dapat mendekati mereka secara terus dan memastikan perkhidmatan kesihatan sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima vaksin, Steven Bedo, 60, berkata program berkenaan sangat membantu penduduk terutama mereka yang berdepan masalah pengangkutan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.
“Selalunya saya pergi ke Klinik Kesihatan Kiulu. Kadang-kadang kena menumpang dan bayar RM5 sekali jalan.
“Kalau pergi balik sudah RM10. Jadi bila mereka datang sendiri ke kampung, memang sangat membantu,” tambahnya.



