ADVERTISEMENTspot_img

Christoper Sokong Pendirian Ketua Menteri Tangguh AKPS Demi Pertahan Hak Imigresen Sabah

Christoper

KOTA KINABALU: Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah, Datuk Christoper Mandut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berhubung penangguhan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia di Sabah.

Sokongan itu dinyatakan susulan kenyataan Ketua Menteri yang menegaskan bahawa Sabah perlu mempertahankan autonomi imigresen negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Christoper, langkah penangguhan AKPS adalah wajar bagi memastikan hak imuniti imigresen Sabah tidak terhakis memandangkan kuasa tersebut merupakan hak eksklusif negeri Sabah yang perlu dipelihara.

“Kerana itu memang kuasa kita,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hajiji yang menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan melibatkan kawalan sempadan dan imigresen perlu mengambil kira kedudukan istimewa Sabah sebagai negeri yang mempunyai autonomi imigresen tersendiri.

Katanya lagi, Pemuda PBS akan terus berdiri teguh di belakang Ketua Menteri dalam mempertahankan hak-hak Sabah, khususnya melibatkan bidang kuasa imigresen negeri.

“Isu ini bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi soal mempertahankan hak dan autonomi Sabah yang telah diperjuangkan sejak sekian lama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyokong kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang menyentuh perkara sama berkaitan kepentingan mempertahankan hak Sabah dalam isu AKPS.

“Saya juga menyokong kenyataan Datuk Armizan mengenai perkara ini,” tambah beliau.

Terdahulu, media melaporkan keputusan Hajiji untuk melaksanakan AKPS di negeri ini ditangguhkan sementara bagi memastikan hak autonomi imigresen Sabah terus terpelihara dan tidak bercanggah dengan semangat MA63.-Ateng

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN