ADVERTISEMENTspot_img

Tandas Cangkung: Lebih Selari Dengan Fisiologi Tubuh



APABILA berdepan pilihan antara tandas duduk dan tandas cangkung di tandas awam, kebanyakan masyarakat hari ini memilih tandas duduk atas faktor keselesaan. Namun tahukah anda, daripada sudut fisiologi tubuh manusia, posisi mencangkung sebenarnya lebih sesuai untuk proses penyahtinjaan.
 
Menurut Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr. Muhammad Irfan Mohamad Salmi yang juga merupakan Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, proses penyahtinjaan bermula apabila najis memasuki rektum.
 
Katanya pengembangan rektum akan mencetuskan refleks saraf yang memberi isyarat kepada otak bahawa sudah tiba masanya untuk membuang air besar.
 
“Dalam keadaan normal, beberapa perkara berlaku secara serentak; otot sfinkter dubur mengendur, rektum mengecut, serta tekanan dalam rongga abdomen meningkat bagi membantu penolakan najis keluar dengan cari meneran. Namun, terdapat satu faktor anatomi yang penting boleh menyukarkan proses ini, iaitu sudut antara rektum dan saluran dubur, yang dikawal oleh otot puborektalis.
 
“Dalam posisi duduk biasa, otot ini masih berada dalam keadaan separa tegang, menyebabkan sudut tersebut kekal lebih tajam. Keadaan ini mewujudkan sedikit rintangan terhadap laluan najis. Sebaliknya, dalam posisi mencangkung, otot puborectalis akan lebih relaks. Sudut antara rektum dan dubur menjadi lebih lurus, sekali gus mengurangkan rintangan dan memudahkan proses pengosongan usus secara lebih lengkap dan kurang meneran. 
 
“Meneran secara berlebihan dan berulang kali boleh meningkatkan tekanan dalam rongga abdomen serta tekanan pada saluran darah di kawasan dubur. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyumbang kepada masalah seperti buasir, rekahan dubur serta perasaan tidak puas selepas membuang air besar.

“Oleh itu, proses pembuangan seharusnya berlaku secara semula jadi tanpa paksaan. Jika najis sukar keluar, adalah lebih baik menunggu dorongan semula jadi daripada usus berbanding memaksa diri untuk meneran. Posisi mencangkung membantu mengurangkan keperluan untuk meneran kerana ia lebih selari dengan reka bentuk anatomi manusia,” katanya.


 
Sementara itu, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) Profesor Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati berkata, kebanyakan rumah moden sekarang mempunyai tandas cangkung, jadi ia bukan lagi pilihan utama namun prinsip fisiologi yang sama masih boleh diaplikasikan.
 
Katanya modifikasi yang disarankan ketika menggunakan tandas duduk adalah mencondongkan badan sedikit kehadapan atau menggunakan bangku kecil untuk meninggikan kaki supaya lutut berada lebih tinggi daripada paras pinggul.
 
“Posisi ini meniru keadaan mencangkung dan membantu meluruskan sudut anorektal. Penting untuk ditekankan bahawa mencangkung di atas mangkuk tandas duduk adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan jika mangkuk tandas pecah.
 
“Selain posisi, tabiat di dalam tandas juga memainkan peranan penting dalam kesihatan usus. Elakkan membawa telefon bimbit ke dalam tandas kerana ini akan menjurus kepada duduk terlalu lama di dalam tandas. Apa yang disarankan pakar kolorektal adalah berada kurang daripada lima minit di dalam tandas untuk membuang air besar. Dalam masa yang sama, elakkan meneran secara paksa serta pastikan pengambilan serat dan air mencukupi. Duduk terlalu lama, terutamanya sambil meneran, meningkatkan risiko masalah anorektal termasuk buasir.
 
“Selain daripada itu, mewujudkan rutin pembuangan air besar yang teratur juga membantu mengekalkan kesihatan usus. Tubuh manusia mempunyai aturan biologi yang mempengaruhi pergerakan usus, dan kebanyakan individu mempunyai dorongan membuang air besar pada waktu tertentu, terutamanya pada waktu pagi atau selepas makan. Menghormati isyarat semula jadi ini dan tidak menangguhkan keinginan untuk ke tandas dapat membantu mengelakkan sembelit. Menahan najis terlalu lama boleh menyebabkan najis menjadi lebih keras dan sukar dikeluarkan.
 
“Kebersihan kawasan dubur selepas membuang air besar juga penting bagi mengelakkan masalah proktologi. Membersihkan kawasan tersebut dengan air atau tisu yang lembut membantu mengurangkan iritasi pada kulit di sekeliling dubur. Elakkan menggosok terlalu kuat kerana kulit di kawasan ini agak sensitif. Amalan kebersihan yang baik bukan sahaja memberikan keselesaan, malah membantu mengurangkan risiko keradangan, kegatalan, atau jangkitan pada kawasan anorektal,” katanya.
 
Kesimpulannya, daripada perspektif perubatan, posisi mencangkung lebih hampir kepada kedudukan semula jadi tubuh manusia untuk proses penyahtinjaan. Ia membantu meluruskan laluan rektum, mengurangkan rintangan, dan meminimakan keperluan untuk meneran. Walaupun tandas duduk lebih selesa dan menjadi norma moden, sedikit pengubahsuaian posisi mampu memberikan manfaat kesihatan jangka panjang. Tubuh manusia mempunyai reka bentuk yang tersendiri dan kadangkala, kembali kepada prinsip asas anatomi memberi hasil yang lebih baik.

Artikel oleh :
 

Profesor Dr. Muhammad Irfan Mohamad Salmi
Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
 
Profesor Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati
Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal
Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) 





ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN