Raisin(tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Dr Yusof Jasmin.
Oleh : Dr Francis Andin
KENINGAU : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) memastikan semua fasiliti dan logistik di sekolah yang dijadikan pusat pengundian berada dalam keadaan terbaik menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin, berkata pihaknya telah melakukan penyelarasan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pentadbir sekolah bagi memastikan pusat mengundi beroperasi lancar tanpa mengganggu pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung serentak.
“JPNS komited membantu SPR dalam memastikan premis pendidikan yang dipilih sebagai pusat pembuangan undi dapat digunakan sepenuhnya. Walaupun peperiksaan SPM berjalan, penyelarasan telah dibuat supaya kedua-dua proses ini berjalan lancar,” katanya.
Menurut beliau, arahan turut dikeluarkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri untuk memastikan semua sekolah terlibat kekal dalam keadaan optimum termasuk aspek kebersihan, keselamatan, kemudahan asas dan sokongan teknikal.
Datuk Raisin berkata pemantauan telah digerakkan lebih awal bagi memastikan kelancaran logistik seperti penyediaan bilik mengundi, laluan masuk dan keluar pengundi, serta penyediaan kemudahan petugas pilihan raya.

Raisin(tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Rubiah Mositol.
Pada masa sama katanya JPNS turut mengambil kira kehadiran calon SPM dan memastikan sebarang penyesuaian operasi tidak menjejaskan perjalanan peperiksaan atau keselamatan pelajar.
“Keutamaan kami tetap kepada kebajikan dan keselamatan pelajar, namun dalam masa sama sekolah juga terus memainkan peranan penting dalam proses demokrasi negara,” ujarnya.
Terdahulu , Raisin merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Pendidikan Daerah Keningau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Yin dekat sini.
Pada majlis itu Seramai 240 warga pendidikan menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 manakala Mantan Pengetua SMK Agama Keningau Dr Yusof Jasmin@ Joseph Gimbad dinobatkan sebagai Tokoh Guru dan Mantan Pengetua SM Ken Hwa Chong Nyuk Choon menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidkkan.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Johari Jaibet Sabin, Pengetua dan Guru Besar sekolah Keningau dan Sook.



