Salah satu latihan menyelamat yang dijalankan semasa Latihan REDEX Kinabalu 2025
RANAU: Seramai 56 orang peserta berjaya menamatkan Program Rural Emergency Disaster Exercise (REDEX) Kinabalu 2025: High Altitude Rescue Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diadakan di sini selama empat hari.
Latihan yang berlangsung selama empat hari, iaitu dari 9 hingga 12 September 2025 melibatkan peserta yang terdiri daripada 25 orang pegawai dari Bahagian Udara JBPM, 14 orang pegawai dari JBPM Sabah, sembilan orang pasukan STORM serta lapan orang pegawai Bomba Bantuan MoSAR.
Majlis Perasmian Penutupan Program REDEX Kinabalu 2025: High Altitude Rescue JBPM itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Hjh Aiman Athirah Binti Sabu di Pusat Interpretasi, Taman Kinabalu Kundasang, Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada JBPM atas kejayaan menganjurkan latihan berskala besar ini yang berfokus kepada aspek penyelamatan di kawasan altitud tinggi dan pengurusan bencana luar bandar.
“Latihan REDEX ini amat signifikan memandangkan Sabah, khususnya kawasan Kundasang dan Ranau, terdedah kepada pelbagai risiko bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, gempa bumi kecil, serta insiden membabitkan pendaki di Gunung Kinabalu.
“Situasi-situasi sebegini menuntut kesiapsiagaan pasukan penyelamat yang tinggi, berkemahiran, pantas dan cekap.
“Justeru, melalui latihan seumpama ini, kita dapat menguji tahap keupayaan pasukan penyelamat, menilai keberkesanan sistem koordinasi antara agensi, serta mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memperkukuh Pelan Tindakan Kecemasan di peringkat daerah, negeri mahupun nasional,” katanya.
Menurut Hjh Aiman, latihan REDEX Kinabalu 2025 ini telah melibatkan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia, Taman-Taman Sabah, Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan, NGO serta komuniti setempat.

Hjh Aiman (tengah) menyampaikan mok cek kepada para anggota MoSAR di majlis itu
“Komitmen dan penyertaan semua pihak ini menggambarkan semangat Whole-of-Government, Whole-of-Society Approach yang kita tekankan dalam pengurusan bencana.
“Kepada semua peserta, saya ucapkan syabas dan tahniah atas kesungguhan, disiplin serta keberanian yang dipamerkan sepanjang latihan.
Ilmu dan pengalaman yang saudara-saudari perolehi akan menjadi aset yang amat berharga apabila kita berdepan dengan insiden sebenar di lapangan kelak.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus memberikan sokongan padu kepada JBPM dalam meningkatkan keupayaan, kompetensi dan profesionalisme pasukan penyelamat.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin, sama ada di kawasan bandar, luar bandar, pedalaman mahupun di puncak gunung tertinggi negara,” katanya.
Hjh Aiman berharap agar segala usaha murni ini menjadi pemangkin kepada sistem kesiapsiagaan negara yang lebih mantap dan berkesan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Bin Abdullah berkata, penganjuran Latihan REDEX Kinabalu 2025, bukan sahaja berjaya meningkatkan keupayaan taktikal pasukan penyelamat, malah ianya juga dapat mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
“Selain itu, latihan ini juga melibatkan pelbagai agensi antaranya MKN, PDRM, KKM, Taman-taman Sabah, APM dan Majlis Daerah Ranau. Komponen latihan yang dilaksanakan adalah merangkumi modul teori dan praktikal simulasi melalui darat dan udara.
“Antaranya seperti Pengurusan Komunikasi, Basic Life Support, Teknik Penyelamatan Abseiling dan Winching dengan pesawat. Ultimate latihan ini adalah kearah koordinasi sistematik dalam frekuensi yang sama antara semua agensi Unified Command: We Talk In A Same Frequency,” katanya.
Othman mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dan berharap semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi bekalan berharga dalam menghadapi sebarang cabaran di lapangan.
Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Bin Aziz, Komander Pangkalan Udara Wilayah Tengah Mewakili Pengarah Bahagian Udara JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhammad Saiful Nizam Bin Samsudin, Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Lizalman Bin Abu, Penolong Pegawai Daerah mewakili Pegawai Daerah Ranau, Farihah Mohd, Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Ediansha Bin Endal dan lain-lain.



