KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa enam telefon awam di asrama tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri telah ditutup selama dua hari, dua malam selepas kejadian pada 16 Julai lalu.
Perkara itu didedahkan oleh pengawal keselamatan, Linah Mansoding, 65, ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan.
Menurut Linah, telefon awam tersebut ditutup dengan mematikan suis atas arahan Ketua Warden asrama. Katanya, sepanjang tempoh itu, pelajar terpaksa meminjam telefon bimbit daripadanya untuk menghubungi ibu bapa, memandangkan telefon awam di asrama hanya boleh digunakan dengan kad prabayar.
“Public phone kena tutup selama dua hari, dua malam… sebab budak-budak banyak, takut call ibu bapa dorang,” katanya ketika disoal peguam.
Saksi itu akan menyambung keterangannya esok selepas mahkamah mengadakan lawatan ke tempat kejadian.
Terdahulu, Linah menceritakan bagaimana beliau dimaklumkan mengenai insiden pelajar pengsan oleh seorang pelajar lain.
“Dia panggil saya, ‘Aunty, aunty, sini ada budak pengsan.’ Bila saya tanya bilik mana, dia kata bukan bilik. Kami pun terus berlari ke tempat kejadian. Sampai di sana, saya nampak dia (Zara) terlentang,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan pelajar yang memanggilnya, Linah berkata pelajar itu kelihatan ketakutan dan tidak dapat mengenal pasti rakan yang terjatuh kerana rabun.
Bagaimanapun, Linah menegaskan beliau dapat mengenali Zara dengan segera selepas melihat wajahnya, memandangkan sudah biasa dengan pelajar-pelajar asrama tersebut.
Beliau kemudian segera menghubungi Ketua Warden yang seterusnya menghubungi beberapa guru serta ambulans.
Linah turut mengesahkan di mahkamah bahawa beliau mengambil gambar keadaan Zara terlentang di tempat kejadian dan menyerahkan gambar berkenaan kepada guru melalui aplikasi WhatsApp. Gambar itu kini dijadikan eksibit dalam prosiding inkues.



