ADVERTISEMENTspot_img

Inkues Zara Qairina: Jatuh tanpa dorongan paling hampir dengan simulasi polis

Gambar kanan: Lakaran lama, bukan gambar terkini

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir semalam mendedahkan hasil ujian simulasi polis, yang menunjukkan keadaan jatuh tanpa sebarang dorongan adalah paling hampir dengan lokasi sebenar mangsa ditemui di blok asrama.

Saksi kelima, Inspektor Maidon Bernandus dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, berkata ujian itu dilakukan pada 3 Ogos lalu sekitar jam 3 pagi di tempat kejadian.

Beliau menjelaskan, simulasi dilaksanakan bersama pegawai penyiasat kes serta empat anggota lain dari D10 Sabah, dengan disaksikan wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan pihak sekolah termasuk warden asrama.

“Simulasi dilakukan dari koridor berhampiran pintu tandas tingkat tiga menggunakan patung seberat 10 kilogram yang ditambah pemberat sehingga 53 kilogram, bersesuaian dengan anggaran berat mangsa. Patung itu dijatuhkan dalam dua keadaan, iaitu pertama tanpa dorongan dan kedua dengan dorongan minima,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurutnya, dalam simulasi pertama patung mendarat pada jarak 2.14 meter dari bangunan, manakala ujian kedua dengan tolakan minima mencatatkan jarak 3.45 meter.

“Dapatan menunjukkan simulasi tanpa tolakan lebih hampir dengan kedudukan jatuhan sebenar. Saya juga mendapati bahagian kaki dan belakang kepala patung mengalami kerosakan teruk. Ujian dijalankan menggunakan pencahayaan lampu forensik bagi mendapatkan gambaran jelas keadaan sebenar,” jelasnya.

Tambah beliau, sebelum simulasi dimulakan, semua pegawai serta anggota diberi taklimat bagi memastikan data diperoleh secara sistematik, manakala keadaan cuaca ketika itu baik, tanpa hujan dan angin kencang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN