Dr Suhaili (lapan kiri), Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari (lapan kanan) dan Ts. Dr. Mohd Hanafi (tujuh kiri) bersama tetamu dan pelajar.
LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman berkata edutourism merupakan satu konsep yang amat signifikan dalam era digital masa kini.
Katanya, Ia bukan sekadar aktiviti melancong, malah memperkayakan pengalaman pembelajaran dengan suasana sebenar di lapangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program ICT- Edutourism Edu Connect Beyond- Borneo Education di bilik Eureka Manara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) disini, pada Isnin.
Tambahnya, pelajar juga berpeluang menimba kemahiran insaniah, kreativiti dan semangat inovasi.
“Kehadiran kita semua membuktikan komitmen bersama dalam usaha memartabatkan pendidikan, teknologi dan pelancongan sebagai pemacu pembangunan negara, katanya.
Jelas Dr. Suhaili lagi, dengan adanya pendekatan digital seperti Virtual Reality (VR), Internet of Things (IoT), dan kecerdasan buatan (AI), kita mampu memperkenalkan cara baharu dalam memperkayakan pengalaman pelancongan pendidikan.
“Bayangkan, seorang pelajar yang datang melawat tapak bersejarah atau pusat sains boleh meneroka dengan interaktif melalui aplikasi pintar, peta digital, atau bahkan panduan maya – menjadikan pembelajaran lebih menarik, inklusif dan berskala global.
“Saya percaya, pelajar dan generasi muda adalah aset terpenting negara. Program seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk menghubungkan ilmu akademik dengan dunia sebenar, menerokai budaya dan warisan tempatan melalui perspektif teknologi, dan menyemai minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM),” katanya.
Beliau berharap agar program edutourism ini dapat diteruskan secara bersepadu dengan sokongan pelbagai pihak kerajaan, industri, sekolah, universiti, dan komuniti tempatan.
Dengan sinergi ini katanya, kita bukan sahaja memperkukuh sistem pendidikan, malah mengangkat pelancongan negara ke tahap yang lebih tinggi’, katanya.
Dalam waktu yang sama beliau sebagai Ahli Parlimen akan sentiasa menyokong inisiatif yang mampu melahirkan modal insan celik digital, kreatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa
Pada program itu, seramai 25 pelajar ICT dari Universitas Esa Unggul Indonesia, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program yang berakhir pada Sabtu depan.
Program yang julung kali diadakan itu dianjurkan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS dengan kerjasama RTM, Jabatan Belia dan Sukan, Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) dan Premier Digital Tech Institutions (PDTI) serta MOTAC.
Turut hadir pada program itu, Pengarah UMSKAL, Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor. Dekan FKI, Professor Madya, Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey
Harvey Tanakinjal,
Hadir sama Pengerusi Penganjur, Prof Madya Dr Muzaffar Hamzah dan Penyelaras Program, Dr. Nuraini Jamil.



