KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar sekolah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan penemuan tulisan tangan orang lain dalam sebuah buku milik arwah.
Pemeriksa Dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa hasil analisis mendapati beberapa halaman dalam buku bertanda ‘W3’ mengandungi tulisan tangan yang bukan milik Zara Qairina.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan menunjukkan perbezaan signifikan dengan ciri tulisan tangan contoh milik arwah. Oleh itu, saya berpendapat ia bukan ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina),” katanya ketika membacakan laporan bertulis.
Menurut saksi, perbezaan itu dikesan pada muka surat dua, tujuh hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 serta 73 hingga 89 buku berkenaan. Malah, muka surat pertama buku itu dikenal pasti sebagai campuran tulisan tangan arwah dan seorang individu lain.
Nurul Atiqah berkata, buku bertanda ‘W3’ adalah sebuah buku “Diamonds” setebal 103 halaman yang bertarikh antara 16 November 2024 hingga 24 Mei 2025.
Beliau turut memeriksa 15 helai kertas, empat buku nota serta dua buku teks lain yang dikaitkan dengan arwah, dan mendapati hampir semua dokumen berkenaan adalah tulisan tangan asli milik Zara Qairina.
“Bagi helaian kertas bertanda Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15, pemeriksaan menunjukkan persamaan signifikan dengan contoh tulisan tangan arwah,” katanya.
Selepas selesai pemeriksaan, semua dokumen berkenaan dimeterai semula dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia dan diserahkan kembali kepada polis pada 2 September lalu.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan sebanyak 21 beg barang kes mengandungi kertas bertulisan tangan diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya pada 20 Ogos.
Nurul Atiqah merupakan saksi kedua prosiding inkues kematian Zara Qairina yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.



