ADVERTISEMENTspot_img

Masa Depan Sabah Bergantung Kepada Perpaduan Pemimpin dan Rakyat Sabah: Ewon

KOTA KINABALU: Masa depan Sabah bergantung kepada perpaduan pemimpin dan rakyat negeri ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah terus memupuk semangat perpaduan dan kerjasama demi memastikan negeri ini terus maju dan berkembang pesat pada masa hadapan.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, meskipun banyak kemajuan telah dicapai sepanjang 62 tahun lalu, perjalanan Sabah ke arah pembangunan yang lebih progresif masih panjang dan memerlukan komitmen bersama semua pihak.

“62 tahun lepas, kemerdekaan Sabah telah diisytiharkan yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Sabah yang berdaulat, seterusnya Sabah bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia.

Dalam tempoh ini, sememangnya banyak kemajuan telah dicapai, tetapi perjalanan masih jauh.

Perjalanan jauh ini menuntut kesatuan, kebersamaan, perpaduan dan kerjasama semua pimpinan dan rakyat Sabah.

Semoga 62 tahun seterusnya dan tahun-tahun berikutnya lebih progresif untuk Sabah. Selamat Hari Sabah buat semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN