Struktur taman bunga terbuka dimusnahi angin kencang di Ranau
RANAU: Kejadian angin kencang yang berlaku di daerah ini sejak dua hari lepas telah mengakibatkan kerosakan-kerosakan kecil yang dialami oleh penduduk di sini, terutama sekali berkaitan bumbung terbang.
Ekoran kejadian itu, sekurang-kurangnya sebuah gerai sayuran tepi jalan di Kundasang mengalami kerosakan bumbung yang diterbangi angin dalam kejadian pada hari Rabu.
Susulan kejadian tersebut, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR) bersama Ahli Majlis MDR telah turun padang membuat pemantauan di kawasan kiosk sayuran dan bunga di Pekan Kundasang.
Dalam lawatan itu, pihak MDR turut menyantuni peniaga yang terkesan dengan keadaan cuaca angin kuat itu dan membantu mengalihkan atap yang terbang ditiup angin kencang.
“Keadaan cuaca di Pekan Ranau dan Kundasang kini dilaporkan kuat angin. Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak meletakkan kenderaan di kawasan berisiko tinggi demi keselamatan bersama.
“Petugas MDR sentiasa berusaha sehabis baik untuk membantu menyelesaikan isu ini dan memastikan kesejahteraan para peniaga serta keselamatan orang awam. Terima kasih kepada semua peniaga dan masyarakat atas kerjasama serta keprihatinan anda.
“Sebarang aduan atau makluman boleh diajukan melalui WhatsApp Unit Penguatkuasa di 011-62663831 dan Unit Hasil di 011-62667260. Sama-sama kita jaga keselamatan, kebersihan dan keharmonian Ranau,” jelas kenyataan yang dikeluarkan pihak MDR.

Pihak MDR membantu mengalihkan bumbung yang diterbangi angin di Kundasang
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Ranau turut menasihatkan para penduduk di sini agar mengutamakan keselamatan terutama sekali pada musing angin kencang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Rantey Fred berkata, sekarang adalah masa paling tidak sesuai untuk melakukan sebarang pembakaran terbuka yang diamalkan penduduk kampung di sini khususnya masyarakat tani.
“Situasi ada masa ini belum berada pada tahap yang membimbangkan kerana jumlah kes yang dilaporkan masih pada tahap minimum. Tetapi mari kita cegah masalah sebelum ia menjadi tidak terkawal.
“Kesan yang dihasilkan oleh aktiviti pembakaran terbuka adalah memudaratkan, selain kesan kesihatan kepada penduduk lain serta pencemaran udara tidak terkata.
“Apa yang kita harapkan ialah orang ramai di sini mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka lagi. Lagipun, pada musim kering dan berangin ini, api akan merebak dan hilang kawalan dengan cepat,” katanya.
Sehubungan itu, Rantey menasihatkan orang ramai supaya menjaga keadaan, “dan mengutamakan keselamatan. Hadkan aktiviti luar yang lain buat sementara waktu, dan pastikan anak-anak kecil dijaga apabila mereka berada di luar.
“Sekiranya sesiapa mendengar atau melihat sebarang situasi berbahaya di kawasan mereka, sila maklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan.
“Orang ramai boleh menghubungi kami melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Balai Bomba di talian 088-878779. Kami sedia membantu,” katanya.



