Abidin menyerahkan replica kunci Rumah SMJ kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh yang lain-lain
RANAU: Ahli Dewan Undangan Negeri N38 Paginatan, YB Datuk Abidin Madingkir, berkesempatan menyempurnakan penyerahan kunci Rumah SMJ di Mukim Suminimpod sebanyak 6 buah rumah.
“Kita bersyukur kepada inisiatif Kerajaan Negeri kerana melaksanakan program Rumah SMJ seperti ini yang mana tidak pernah dibuat oleh mana-mana Kerajaan Negeri terdahulu,” katanya.
Melalui Program Perumahan SMJ, DUN Paginatan telah mendapat peruntukan sebanyak seratus (100) buah rumah sejak ia diperkenalkan pada tahun 2022. Mukim Suminimpod sendiri telah memperolehi 15 buah Rumah SMJ.
“Kita mengharapkan jumlah rumah SMJ akan bertambah pada masa-masa akan datang apabila Kerajaan GRS ini terus diberi mandat untuk menjadi kerajaan selepas PRN17 nanti,” katanya.
Datuk Abidin menyeru kepada semua pemimpin kampung dan rakyat Mukim Suminimpod untuk terus memberi menyokong tidak berbelah bagi kepada Kerajaan GRS kerana pencapaian kerajaan yang amat membanggakan.
Pelan Pembangunan SMJ 2.0 harus disokong dan diteruskan kerana ia adalah pelan pembangunan yang mensejahterakan rakyat.
“Menyentuh tentang Majlis Pecah Tanah Pekan Baru Paginatan baru-baru ini yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah, terdapat beberapa individu yang memperlekehkan pengujudan Pekan Baru Paginatan.
“Perancangan pengujudan Pekan Baru telah dibuat seawal tahun 2020. Kerja-kerja awalan telah kita buat termasuklah kolaborasi dengan beberapa jabatan dan agensi kerajaan dan juga penduduk Kg. Paginatan.
“Atas persetujuan Jabatan Pertanian dan Ajk Padang Ragut Kg. Paginatan dan Kg. Lungkidau, lebih kurang 200 ekar tanah telah dikenalpasti untuk tujuan Pengujudan Pekan Baru tersebut, dan sudahpun dalam pengeluaran pewartaan tanah oleh Jabatan Tanah Daerah.
“Untuk mengatakan bahawa Majlis Pecah tersebut adalah ‘gimik pilihanraya ‘, ia adalah tidak tepat sama sekali. Kita bekerja lebih 4 tahun untuk merealisasikan imipan ini dan akhirnya impian kita dimakbulkan oleh kerajaan. Ini merupakan satu kebanggaan bagi rakyat Paginatan khasnya dan seluruh penduduk Ranau amnya,” katanya.
Sementara itu, Datuk Abidin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, peruntukan awal sebanyak RM500 ribu telah diluluskan oleh Kerajaan bagi membiayai kerja-kerja awalan pengujudan pekan baru tersebut.
Kerja-kerja selanjutnya akan dibuat dalam 5 fasa merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serbaguna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis, balai bomba dan bangunan-bangunan keagamaan.
Dalam pada itu, Pemaju Mukim, Mukim Suminimpod, Sibin Keidau merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana sudi hadir dalam maljis ini dan seterusnya menyempurnakan Penyerahan Kunci Rumah SMJ Mukim Suminimpod.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada mereka yang dipilih untuk menerima rumah tersebut iaitu Elneh Jesson (Kg. Kepangian), Saibit Kaantis (Kg. Suminimpod), Using Gudtal (Kg. Suminimpod), Jakius Kamin (Kg. Gana Gana), Hyrinteno (Kg. Gana Gana) dan Kasim Bantasan (Kg. Gaur),” katanya.
Beliau mewakili penerima kunci Rumah SMJ, Kasim Bantasan, merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan dan juga Wakil Rakyat DUN Paginatan YB Datuk Abidin Madingkir kerana atas kebaikan beliau, mereka dapat memiliki rumah kediaman yang cukup baik.
Turut hadir di majlis itu, ADO Florencia Padasian, Pegawai Kesejahteraan Rakyat, Samdin Rijin, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal dan para pemimpin masyarakat setempat.



