NIZAM
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah menegaskan pembayaran hutang kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion pada tahun 2019 bukan hasil pengurusan kewangan pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan), sebaliknya berpunca daripada perancangan rapi pentadbiran terdahulu sejak 2014.
Menurut beliau, pada Disember 2014, Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) diterbitkan dan Bank Negara Malaysia menetapkan syarat agar kerajaan negeri menubuhkan Tabung Amanah Khas bagi memastikan bayaran balik dibuat sepenuhnya apabila bon matang.
“Sejak itu, kerajaan negeri mencarum RM200 juta setiap tahun ke dalam tabung tersebut selama lima tahun berturut-turut sehingga terkumpul RM1 bilion pada 2019. Dana ini digunakan untuk melunaskan bon secara sekali gus tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, Warisan hanya melaksanakan proses akhir pembayaran dengan menggunakan dana yang telah tersedia hasil perancangan kewangan sebelum mereka mengambil alih pentadbiran.
Katanya, langkah mewujudkan Tabung Amanah Khas itu adalah strategi bijak untuk mengelakkan beban kewangan besar kepada negeri, dan ia dirangka sepenuhnya oleh pentadbiran terdahulu.
“Oleh itu, adalah tidak tepat dan mengelirukan untuk mendakwa pembayaran tersebut sebagai kejayaan pentadbiran Warisan,” tegas beliau.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berulang kali menyatakan pembayaran RM1 bilion tersebut adalah bukti kecekapan pentadbiran beliau.



