Wong menyampaikan bantuan insentif kepada Tan Wei Fun sambil di perhatikan Yahya (dua dari kanan).
LABUAN: Tan Wei Fun pelajar SMK Labuan yang mendapat keputusan cemerlang PNGK 4.0 pada peperiksaan STPM 2024 menerima bantuan insentif RM1000 sumbangan daripada Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC).
Majlis penyampaian bantuan insentif itu disempurnakan oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Wong Kii Yii dalam satu majlis di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, di sini pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh yang menjalankan tugas tugas Pengarah dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Labuan, Sawal Salleh.
Tan yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan kewangan merupakan pelajar tunggal Labuan yang memperolehi PNGK 4.0 pada peperiksaan STPM 2024. Pada tahun sebelumnya (2023) Labuan merekodkan 4 pelajar STPM mendapat PNGK 4.0 dan menjadi pelajar kumpulan pertama menerima bantuan insentif yang diperkenalkan oleh Dewan Perniagaan Tionghua Labuan.
Menurut Wong, pihaknya telah memperkenalkan bantuan insentif RM1000 kepada mana mana pelajar STPM yang memperolehi keputusan cemerlang PNGK 4.0 sejak tahun 2024.
“Insentif ini adalah sebagai menghargai prestasi cemerlang para pelajar, selain menjadikan sebagai dorongan kepada pelajar untuk belajar bersungguh sungguh dan menjadikan budaya kehidupan yang sentiasa cemerlang dalam pendidikan”, katanya.
Sementara itu, Yahya menyeru kepada semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan STPM tahun ini supaya belajar bersungguh sungguh untuk mencapai sasaran keputusan cemerlang PNGK 4.0 sekaligus layak menerima bantuan insentif yang disediakan oleh LCCC.
“Sumbangan yang disediakan oleh LCCC ini merupakan cabaran kepada para pelajar bukan sahaja dalam merebut insentif itu tetapi demi menjamin masa depan pelajar yang lebih cemerlang”, katanya.



