ADVERTISEMENTspot_img

SK Kandawayon berjaya anjur Karnival STEM Inovasi 2025

Pelajar yang mengambil bahagian dalam program STEM di SK Kandawayon


RANAU: Sekolah Kebangsaan Kandawayon, Ranau telah mencipta satu lagi kejayaan gemilang apabila berjaya menganjurkan Karnival STEM Inovasi 2025 bertemakan “Menyemai Ilmu, Menjana Inovasi” dengan penuh warna-warni dan sambutan yang menggalakkan.


Karnival ini bertujuan untuk meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta memberi pendedahan secara langsung kepada aplikasi STEM dalam pelbagai mata pelajaran melalui pendekatan aktiviti merentas kurikulum.


Antara tarikan utama karnival ialah 13 buah booth pertandingan yang menyajikan pelbagai aktiviti inkuiri dan eksplorasi, disertai oleh murid-murid dari SK Kandawayon, serta dua sekolah jemputan, iaitu SK Pekan 2 Ranau dan SJK (C) Pai Wen Ranau.


Aktiviti yang dijalankan telah berjaya menarik minat murid dan mencetuskan suasana pembelajaran yang aktif, kreatif dan menyeronokkan.

Pegawai Pendidikan, guru dan pelajar dalam gambar berkumpulan semasa acara itu


Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Binti Mohd Kahar.


Turut memeriahkan majlis ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Sektor Pembelajaran PPD Ranau, Vincent Sabin @ William; Pegawai SISC+ Unit Sains dan Matematik, Ahsly Kasin; Pegawai SISC+ merangkap Pegawai Angkat SK Kandawayon, Roslinah Binti Apin; serta Pegawai SISC+ PPD Ranau, Suzan Inow.


Kehadiran YDP PIBG SK Kandawayon, Rozita Juanis, barisan AJK PIBG, peserta NPQEL 2025, ibu bapa, serta guru-guru pengiring dari sekolah jemputan turut menyemarakkan lagi suasana karnival.


Majlis bersurai sekitar jam 12:30 tengah hari, meninggalkan impak positif dalam usaha menyuburkan minat murid terhadap STEM serta menggalakkan pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri dan inovasi di peringkat sekolah rendah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN