Abidin menyerahkan Sijil Penghargaan kepada salah seorang tokoh KRT Kg Noudu Marakau bagi tahun 2024/2025
RANAU: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Noudu Marakau yang pernah mencapai beberapa anugerah peringkat kebangsaan, baru-baru ini melangkah setapak ke hadapan dengan penganugerahan status sebagai antara KRT yang paling aktif.
Sehubungan dengan itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir memuji usaha anggota KRT tersebut dan berharap ia menjadi contoh kpada semua KRT lain di sini.
“Syabas dan tahniah kepada KRT Noudu Marakau kerana mendapat status sebagai antara KRT yang paling aktif dan telah mendapat beberapa anugerah peringkat kebangsaan.
“Sebagai sebahagian daripada penduduk Kg. Marakau, saya turut berbangga dengan pencapaian dan kejayaan kamu. Teruskan usaha ini, dan semoga lebih banyak pencapaian diperolehi di masa akan datang,” katanya.
Menurut Abidin, KRT Noudu Marakau ini juga telah diiktiraf sebagai pengeluar dan pembekal Serunding yang terkenal bukan sahaja di Daerah Ranau tetapi sudah mempunyai capaian yang luas sehingga ke daerah-daerah lain di Sabah.
“Syabas dan tahniah sekali lagi kepada KRT Noudu. Teruskan semangat kesatuan dan kerjasama diantara satu sama lain, dan juga kerjasama kamu kepada pemimpin dan pegawai kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi KRT Noudu Marakau yang diadakan di Mini Dewan Kg Marakau baru-baru ini.
Menurut beliau, aspek perpaduan adalah kunci utama dalam konsep Rukun Tetangga, di mana melalu kesatuan masyarakat kampung program kemasyarakan sudah tentunya dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, seperti program gotong royong dan sambutan majlis-majlis keramaian.
“Semangat kejiranan dan perpaduan yang kuat adalah teras kejayaan dan kecemerlangan sesebuah kampung dan komuniti.
“Selain daripada program kemasyarakan pihak Jabatan Perpaduan juga mempunyai program untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Abidin menyeru kepada semua ahli KRT Noudu Marakau supaya terus menyokong kerajaan GRS kerana dalam empat tahun kebelakangan ini kerajaan GRS telah membuktikan kecemerlangan dan kejayaan mentadbir negeri dan telah menjamin stabilan politik.
“Dengan kestabilan yang kita nikmati sekarang, ia telah menambah keyakinan pelaburan asing melabur di Negeri Sabah. Ini dibuktikan dengan pertambahan pelaburan asing sejak tiga tahun berturut turut,” katanya.
Dalam majlis itu, Pengerusi KRT Noudu Marakau, Wasinah Kuntagil merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana sudi hadir ke Majlis Apresiasi KRT Noudu Marakau seterusnya menyempurnakan Perasmian Program tersebut.
“Majlis apresiasi ini adalah anjuran bersama KRT Noudu, Jkkk dan Ajk Bombon Kg. Marakau. Ia bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan peranan KRT Noudu Marakau dalam membangun masyarakat Kg. Marakau.
“KRT Noudu Marakau adalah salah satu KRT yang paling aktif dan telah mendapat pengiktirafan Peringkat Kebangsaan dalam beberapa tahun ini, di mana antara pencapaian yang diperolehi adalah; Anugerah khas : KIK Hybrid Jabatan Perdana Menteri (Tahun 2015/2016); dan Tempat Ketiga Peringkat Kebangsaan dalam Kategori KRT Paling Berinovasi (Tahun 2020).
“KRT Noudu Marakau juga telah menjadi lokasi destinasi Lawatan Integrasi, antara negeri, antara wilayah dan antara KRT di seluruh Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Perpaduan Daerah Ranau, Faiz Mohd Zahri berkata, terdapat 45 badan KRT telah ditubuhkan di Daerah Ranau dengan penambahan satu lagi yang baru diujudkan di Kg. Lungkidau.
“Terdapat juga 27 skim rondaan sukarela dimana Kg. Marakau sendiri mempunyai 2 platun yang sentiasa membuat rondaan 1-2 kali seminggu, ketika rakyat sedang tidur. Ini adalah salah satu tanggung jawab yang dilaksanakan di bawah program KRT.
“Jabatan Perpaduan Negara juga telah mengujudkan lima buah Tadika Perpaduan di Daerah Ranau dan salah satu daripadanya adalah di Kg. Noudu Marakau.
“Sebagai tanda usaha jabatan dalam meningkatkan ekonomi Jawatankuasa Rukun Tetangga, Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan RT Progressif,” katanya.
Faiz mengharapkan agar KRT Noudu Marakau akan tersenarai sebagai RT Progressif untuk mendapat dana daripada kerajaan.
Dalam majlis ini, YB Datuk Abidin sempat menyerahkan Sijil Penghargaan kepada beberapa tokoh KRT Kg. Noudu Marakau bagi tahun 2024/2025.
Turut hadir, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, KAN Sawalin Zakaria, Pemaju Mukim Tanah Rata, Lasius Golipoi dan para pemimpin kampung sekitar.



