SUMBANGAN PERIBADI… Dari kanan Johan dan Ariffin serta yang lain menyaksikan Harun (kanan) menyampaikan wang tunai kepada JPKK biaya membeli zink untuk Surau tersebut.
OLEH: HJ MOHD AMIN HJ MUIN
DAN A. JALIL MADARIN
PITAS – Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah ( PGRS) Bahagian Pitas Datuk Harun Haji Ismail meminta masyarakat berbilang kaum di kawasan ini khasnya agar tidak mengamalkan budaya suka menukar parti yang mereka anggotai sekali gus suka menukar-nukar kerajaan.
Harun berkata tindakan ini boleh membantutkan pembangunan yang sedang di bangunkan oleh kerajaan sekarang melalui hala tuju “Sabah Maju Jaya”.
Katanya, negeri ini sudah jauh ketinggalan dengan negeri Sarawak yang pesat membangun dalam kepelbagaian sedangkan sebelum ini Sabah telah mendahului Sarawak maju dan berdaya saing dengan negeri-negeri di Semanjung Malaysia.
“Di Sarawak walau pun ada pertukaran Ketua Menteri tetapi pertukaran itu dalam satu parti kerajaan sahaja berbanding Sabah pertukaran Ketua Menteri mengikut parti yang dapat majoriti atau kepercayaan ahli Dewan dan sehingga kini Sabah sudah mempunyai 16 orang Ketua Menteri bertukar ganti malah hanya di Sabah sahaja yang pernah terjadi dalam sejarah satu penggal pemerintahan kerajaan di pimpin oleh dua orang Ketua Menteri silih berganti.
“Ini adalah antara faktor yang boleh menyebabkan Sabah mundur dalam arus pembangunan,” tegas Harun
Sehubungan itu beliau meminta rakyat menghentikan perbuatan ini dan kekalkan kerajaan sekarang demi masa depan rakyat jelata dan negeri ini untuk terus maju serta berdaya saing.

BERSAMA PENDUDUK… Harun duduk depan (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian dari ratusan masyarakat di majlis itu.
Harun yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Oil dan Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) antara lain berkata demikian di Majlis Jalinan Kasih Pemimpin bersama Penduduk Kampung Rosob Pantai dekat sini baru-baru ini.
Di majlis itu penduduk diberikan peluang untuk mengemukakan soalan dan boleh mengemukakan permasalahan yang mereka hadapi bersama dalam kerajaan sekarang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi perkara tersebut disamping menangani isu tidak yakin kepada kerajaan dapat diselesaikan.
Harun juga turut mempertimbangkan permohonan penduduk melalui ucapan pengerusi penganjur mereka memerlukan knopy dan kerusi untuk kegunaan jika kampung ini mengadakan sebarang majlis perjumpaan.
Menurut penduduk mereka sudah pernah memohon dari beberapa pemimpin namun sehingga kini permohonan mereka tidak pernah tertunai.
Di majlis itu Harun turut menyumbang wang ringgit untuk menggantikan zink surau di kampung tersebut yang di terbangkan angin ribut baru-baru ini.
Hadir sama, Pegawai Khas kepada Datuk Harun Tuan Abdul Majit Tarip@Man, Pengerusi Penyelaras program Malai Saharuddin Malai Ahmat, Pengerusi penganjur program Shariphuddin bin Datu, Pengerusi JPKK Abdul Mazhir Muluk, Ketua Kampung Rosob Pantai Hamzah Dulang dan Pengerusi KRT Suhailah Abdul Karim.
Turut bersama di majlis itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat Daerah Pitas, Ariffin Matasin, Ustaz Johan Aminullah, Ustaz Haji Ismail Estin dan Warga Kerja Datu Harun.



