Jonathan menyampaikan Anugerah kepada salah Seorang tokoh pelajar di majlis itu
RANAU: Sistem baharu pembelajaran yang diperkelankan kerajaan adalah baik, namun tidak bermakna jika para pelajar tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Inisiatif Pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Pembelajaran Abad Ke-21 adalah baik. Begitu juga segala prasarana dan bangunan sekolah yang cantik yang disediakan kerajaan.
“Tapi sekiranya murid-murid sendiri tidak berusaha lebih hebat daripada sistem pendidikan atau bangunan yang dibina, maka tidak akan ada ertinya.
“Jadi gunakanlah segala yang kerajaan telah sediakan dan gandingkan ia dengan usaha yang setimpal untuk berjaya dalam bidang pembelajaran, barulah semuanya akan membuahkan hasil,” katanya.
Tambahnya, perlu ada kesungguhan di dalam diri pelajar itu sendiri untuk berjaya dengan menanamkan misi dan visi yang perlu dicapai supaya suatu kejayaan dapat dicapai dengan jayanya.
“Ingatlah segala usaha yang kita lakukan untuk berjaya dalam pelajaran adalah untuk kepentingan kita bersama, khususnya di daerah Ranau yang sememangnya memerlukan cendikiawan untuk mentadbir daerah kita,” katanya.
Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Ranau (SMKR) yang ke-19 yang diadakan di Dewan Utama SMKR pada hari Khamis.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah khususnya kepada semua pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam persekolahan mereka, serta menerima Anugerah pada majlis itu.
“Semoga kejayaan yang dicapai hari ini akan memberi lebih besar lagi dorongan serta motivasi kepada semua yang terlibat supaya dapat mencapai kejayaan yang lebih besar lagi di masa hadapan.
“Sesungguhnya, anak-anak hari ini adalah pemimpin di masa hadapan yang akan menggantikan pimpinan pada hari ini, justeru kecemerlangan seumpama ini memberikan satu gambaran masa depan yang cerah untuk daerah Ranau,” katanya.
Tahniah juga diucapkan oleh beliau kepada barisan para pendidik dan juga ibu bapa yang telah bertungkus lumus dalam menyediakan dan mendidik anak-anak sehingga mencapai kecemerlangan dalam persekolahan mereka.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau merasmikan program itu dan atas penganjuran yang berjalan penuh bermakna dan berjaya.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Sandy Kariki @ Gerald, Pengetua SMKR Faridah Binti Raimin, YDP PIBG SMKR, Japilin Bin Lajim, para Pengetua, guru-guru, ibu bapa dan lain-lain.



