Datuk Abidin menimang bola takraw sebagai simbolik perasmian acara sukan itu
RANAU: Pasukan Sompoton muncul Johan Keseluruhan Program Santai Pisompuruan Sukan Kaamatan Peringkat Kg Matan yang diadakan di sini baru-baru ini.
Dalam acara anjuran Matra Club bersama JKKK Kg Matan itu, Pasukan Sompoton muncul juara selepas mengutip 26 mata, diikuti Pasukan Bungkau dan Tagong yang berkongsi sebagai Naib Johan selepas mengutip 23 mata, dan Pasukan Tongkungon di tempat ketiga dengan 19 mata.
Kejohanan yang melibatkan acara sukan seperti Bola Sepak, Golf, Bola tampar, Sepak Takraw, tarik tali, Sukan rakyat, Sukaneka kanak-kanak dan juga Pertandingan Gong itu diadakan di Padang Patod Kg Matan.
Acara yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun N.38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
Dalam program itu, Abidin turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak berumur 5-10 tahun yang disumbangkan oleh Salmoen@Esheel Sualim.
Sementara itu, dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas kepada kesemua pasukan yang bertanding dan tahniah kepada Matra Club bersama JKKK Kg Matan di atas penganjuran Program Santai Pisompuruan Sukan Kaamatan berkenaan.
Katanya, penganjuran aktiviti sukan seperti ini sudah tentu dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta.
“Penyertaan pemain sepanjang perlawanan diadakan menunjukkan para belia dan masyarakat secara amnya di sini sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Datuk Abidin (tengah), Hillary dan lain-lain menunjukkan isyarat bagus terhadap acara sukan yang dijalankan itu
“Ia juga secara tidak langsung membolehkan peserta menunjukkan bakat dan kebolehan mereka terutama dalam pertandingan-pertandingan yang dimasukkan dalam program ini.
“Acara sukan seperti ini juga dapat mencungkil bakat terpendam yang boleh ditonjolkan di peringkat lebih tinggi, justeru memberi peluang kepada mereka yang mahu bergiat lebih aktif dalam acara sukan yang diceburi.
“Acara ini juga sedikit sebanyak mengurangkan, malah dapat mengelakkan masyarakat dari semua peringkat daripada terjerumus dalam kegiatan tidak diingini iaitu gejala sosial,” katanya.
Bagi tujuan itu, katanya, setiap orang perlu mengutamakan kesihatan mereka terutama ketika mereka masih muda dan tidak perlu menunggu sampai usia tua kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.
“Hidup adalah anugerah Tuhan, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kehidupan yang diberikan kepada kita dihargai dengan menjaga kesihatan kita. Umur hanyalah angka, dan yang paling penting ialah hidup bahagia dan sihat.
“Selaras dengan seruan pihak berkenaan, penjagaan kesihatan mesti dimulakan semasa masih kanak-kanak. Jika semua orang mengamalkan perkara ini, tidak hairanlah ramai yang akan mencapai usia 100 tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, pada zaman ini terdapat begitu ramai golongan muda yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi, dan ini mesti dibendung.
Namun begitu, beliau berkata penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat juga penting kerana jika tidak menjaga kesihatan ketika tua, maka banyak penyakit boleh timbul daripada cara hidup yang tidak terkawal.
“Sebab itu kita perlu mengamalkan cara hidup sihat yang merangkumi senaman dan aktiviti kesukanan, jauhi minda negatif, makan makanan sihat, dan kerap senyum dan ketawa,” katanya.
Dalam program yang sama Abidin turut merasmikan gelanggang serbaguna yang baru siap dibina di kampung itu.
Turut Hadir dalam program itu, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer M Satur, Ketua Wiramuda Star Paginatan, Hillary Salmoen, Ketua wiranita Star Paginatan, Siti Nurjana Abas Kakitangan UPPM Paginatan dan pemimpin setempat.



