KENANGAN..Datuk Dr. Mistrine Radin (sembilan dari kiri) mengabadikan gambar bersama Dr Marcus Shapi (lapan dari kiri) dan semua Ketua Panitia yang menerima simbolik penyerahan GPMP subjek masing-masing sebagai sasaran SPM 2025
RANAU : Pendidikan merupakan saluran terbaik untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik walau apa jua latar belakang, demikian tegas Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2025, Datuk Dr. Mistrine Radin dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua (SEMETRA), baru-baru ini.
Beliau yang merupakan mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah dan bekas Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum bersara pada Mei 2023, telah dijemput khas oleh pihak sekolah untuk menyampaikan motivasi kepada para pelajar, warga pendidik serta ibu bapa SEMETRA.
“Walaupun kita tidak mampu mengubah asal usul kita, namun kita boleh menentukan siapa diri kita pada masa akan datang,” katanya sambil menekankan bahawa kampung asal atau taraf ekonomi keluarga bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan pendidikan.
Dalam perkongsian kisah peribadinya, beliau mengajak pelajar untuk menjadikan kekurangan sebagai cabaran yang menguatkan azam untuk berjaya.

10A … Pelajar Terbaik SPM 2024, Norsilawanis binti Juanis yang mendapat menerima sijil penghargaan daripada TPPD, Tuan Sandy Kariki @ Gerald.
Menurut beliau, memiliki pendidikan belum tentu menjadikan seseorang kaya, namun hal itu membuka ruang dan peluang yang lebih luas untuk memilih laluan kehidupan.
Dr. Mistrine turut menyatakan keyakinan terhadap komitmen guru-guru di SEMETRA yang begitu gigih membimbing pelajar, sekali gus menyumbang kepada pencapaian cemerlang sekolah ini dalam SPM 2024 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.70.
“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa kedudukan sekolah di pedalaman bukanlah penghalang untuk mencipta kecemerlangan,” tambahnya sambil memuji penglibatan aktif ibu bapa dalam setiap program sekolah sebagai pemangkin kejayaan anak-anak mereka.

LAWAT … Datuk Dr Mistrine Radin ketika melawat pameran bersama Tuan Pengetua, Dr Marcus Shapi, dan TPPD Tuan Sandy Kariki @ Gerald.
Turut berucap dalam majlis tersebut, Pengetua SMK Timbua, Dr. Marcus Shapi yang menekankan bahawa kejayaan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kerjasama erat antara guru, murid dan ibu bapa.
“Guru-guru sentiasa berusaha membantu murid mencapai potensi terbaik dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sahsiah dan kokurikulum. Namun, sokongan ibu bapa sangat diperlukan agar segala program dapat memberi impak positif kepada pembangunan pelajar,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga SEMETRA, khususnya para guru yang ikhlas dan dedikasi mendidik tanpa mengira masa, tenaga dan kos.

BERAS KAMPUNG … Tuan Pengetua SMK Timbua, Dr Marcus Shapi menyampaikan buah tangan kepada Datuk Dr Mistrine Radin.
Menurutnya, semangat inilah yang menjadi tonggak kepada kejayaan pelajar dalam SPM 2024.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Tuan Sandy Kariki @ Gerald. Hadir sama YDP PIBG SMK Timbua, Encik Azlee bin Juhumaat.
Seramai 154 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah diraikan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang, termasuk 25 orang calon SPM 2024 yang menunjukkan prestasi akademik membanggakan.
Selain itu, majlis turut menyaksikan Pelancaran Pintod SPM 3.64 dan penyerahan mentor-mentee khas untuk calon SPM 2024.
Pihak sekolah turut mengadakan Pameran Alam Sekitar dan STEM SEMETRA Glory melibatkan pelbagai agensi luar seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Imbak Canyon Conservation Area (Yayasan Sabah), Syarikat Hasil Pertanian Organik (HPO), SK Timbua, Klinik Kesihatan Ranau, Sabah Parks, Seni & Kraftangan Marakau dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ranau.-Oleh Doreen Pius



