Gambar hiasan – Jonathan ketika menyertai gotong royong di Kg.Sumbilingon, Ranau, baru-baru ini
RANAU: Rakyat akar umbi kawasan P.179 Ranau, memuji dan menyifatkan keprihatinan, Ahli Parlimen mereka, Datuk Jonathan Yasin kini sudah mula menempah kejayaan merobek kemunduran dari segi pembangunan infrastuktur untuk memberi manfaat kepada rakyat di sini.
Ramai yang sempat ditemui berasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan Datuk Jonathan membiayai kos rawatan terhadap pesakit yang terpaksa tinggal di Wad Hospital Ranau atas sebab sesuatu penyakit dan memerlukan rawatan rapi daripada pihak Doktor.
“Datuk Jonathan adalah satu-satunya pemimpin di negeri ini yang sanggup membiayai kos rawatan rakyatnya yang terpaksa tinggal di Wad Hospital “, jelas Ketua Adat (Ketua Kampung) Kg.Tungou Ranau, KK Muhinin Bin Gisiu@Wasimin.
Sementara itu, Ketua Daerah Ranau, Muhasip Bin Haji Ruman juga menyifatkan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin sebagai pemimpin unggul, terbaik dan ‘Prihatin Rakyat’ kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan peruntukan berpuluh ribu malah jutaan ringgit daripada kerajaan pusat untuk membiayai kos pelbagai projek pembangunan untuk manafaat rakyat di kawasan Parlimen Ranau.
Menurut Muhasip, satu lagi yang menarik perhatian rakyat terhadap komitmen tinggi Datuk Jonathan ialah kesanggupan serta keikhlasannya menziarahi keluarga yang ditimpa musibah seperti kematian anggota keluarga sambil menghulurkan derma peribadi kepada mereka yang terlibat termasuk juga keluarga daif tanpa mengira anutan agama dan fahaman politik.
“Banyak sudah keluarga daif di Ranau telah mendapat bantuan dan sokongan daripada Datuk Jonathan untuk membaiki atau membina semula banguan rumah kediaman yang uzur kepada kediaman yang lebih selesa”, jelas Muhasip.
Menurut Muhasip lagi, banyak sumbangan dan bantuan Datuk Jonathan kepada para pelajar dari keluarga tidak berkemampun melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Pelbagai projek pembangunan telah dan sedang berjalan lancar pembinaannya dan akan siap tidak lama lagi”, tambah Muhasip sambil memberi contoh jambatan konkrit merentangi sungai Liwagu Kegibangan menelan kos RM51 juta peruntukan daripada kerajaan pusat yang kini pembinaannya sedang berjalan lancar.