ADVERTISEMENTspot_img

ISU TANAH ADAT PERLU DIBERI PERHATIAN OLEH KERAJAAN NEGERI

KOTA KINABALU:  Kes Perhimpunan Aman menuntut campur tangan Yang Di Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sabah untuk menyemak Kembali penukaran geran Tanah Adat atas nama Tanah Rizab Padang Ragut kepada geran ‘Country Leased’ (CL) 035317223  kepada sebuah Syarikat milik Bukan Bumiputera QL Aquamarine Sdn. Bhd. di Kuala Pintasan, Kota Belud baru-baru hanyalah salah satu contoh bagaimana rapuhnya pengurusan tanah-tanah Adat di negeri ini.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Mustapha Sakmud, berkata perjuangan penduduk Kg. Labuan sejak awal tahun 80an  dalam mempertahankan Tanah Adat yang di pusakakan oleh moyang mereka sejak zaman sebelum merdeka memang ada kebenarannya walaupun akhirnya terbelenggu dengan undang-undang Ordinan Tanah yang dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, dokumen bersejarah Pembangunan Tanah Rizab Kota Belud yang ditandatangani pada 2 Febuari 1956 adalah antara nota penting yang menjadi asas perjuangan menuntut hak keatas Tanah Rizab Padang Ragut berkenaan. Antara Penandatangan yang tercatat ialah OKK Hasbullah, Hj. Malek dari Kg. Labuan dan OKK Nuar dari Kg. Taun Gusi.

“Oleh yang demikian, sebarang usaha untuk menjustifikasikan penukaran status Tanah Rizab ini kepada tanah CL agar dapat dimiliki oleh Bukan Bumiputera memang sukar untuk diterima oleh penduduk-penduduk kampung yang terlibat. Kawasan tersebut sudah menjadi tempat untuk haiwan ternakan penduduk kampung dari turun temurun.

“Dari segi logiknya apapun pembangunan yang dirancang di Tanah Rizab tersebut perlu melibatkan pimpinan kampung dan dipersetujui oleh suara majoriti.

“Saya berharap agar YB Fairuz Rendaan yang menjadi ADUN Pertama DUN Baru Pintasan perlu sensitif dengan sejarah Tanah Rizab tersebut dan mengadakan dialog dengan pihak-pihak yang berkenaan termasuk Syarikat QL Marine yang menjadi pemilik Geran.

“Sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri beliau perlu bertindak secara bijaksana agar tidak kelihatan seolah-olah mewakili pandangan YAB Ketua Menteri dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini..

Mustapha yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud menjelaskan, dalam kesempatan bertemu dengan YAB Ketua Menteri Bersama Pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lepas, beliau sempat berbincang dengan Hajiji tentang isu Tanah Rizab ini.

Katanya, Ketua Menteri maklum dengan perkara ini dan sudah pun mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk membuat siasatan dan laporan terperinci untuk pertimbangan selanjutnya.

“Oleh itu, semua pihak perlu bertenang dan jangan membuat Tindakan dan keputusan terburu-buru tanpa asas.

“Pimpinan PH amat bimbang dengan isu Tanah Adat ini dan salah satu dari bab Kertas Cadangan Agenda Reformasi Sabah yang dibentang kepada YAB Ketua Menteri adalah Tadbir Urus Orang Asal Sabah termasuk pemilikan Tanah Adat,” katanya.

Timbalan Pengerusi, Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah itu juga berkata, PH mencadangkan agar Penubuhan Tribunal Tanah dipercepatkan untuk mengurus tanah-tanah adat daripada jatuh milik kepada Syarikat-syarikat tanpa persetujuan penduduk kampung.

Menurut beliau, Tribunal Tanah ini sudah dilaksanakan di Australia dan sebarang keputusan penukaran hak milik perlu melalui timbang tara Tribunal ini. Timbalan Ketua Menteri,

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan juga mencadangkan agar Yayasan Tanah Anak Negeri di wujudkan untuk menjaga tanah-tanah Adat dinegeri ini. Dimasukkan dalam Kertas Cadangan Agenda Reformasi Sabah tersebut.

Di Kota Belud sendiri jelasnya masih ada lagi kes-kes lain yang menjadi bom jangka seperti Kes Tanah Adat Kg. Taburan, Pertindihan pemilikan Tanah Adat dan Kawasan Tentera di sekitar Kg. Bangkahak dan Kg. Rosok dan kampung-kampung di DUN Kadamaian yang termasuk didalam Hutan Simpan Sungai Wariu.

“Justeru saya berharap agar Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap isu Tanah Adat ini dan memastikan nasib rakyat Sabah terbela.

“Janganlah menambah derita rakyat yang kini dinafikan hak untuk menikmati hasil sumber negeri sendiri dan menjadi negeri yang paling ramai kawasan Miskin seperti yang dinyatakan dalam laporan RMK12. Bagaimanalah nasib rakyat Sabah jika selepas ini Tanah-tanah adat mereka habis di pindah milik kepada Syarikat-syarikat,” tambah Mustapha.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN