Hj Yahya menyiram anak anak dengan pancuran Bomba sebelum berkhatan
LABUAN: Seramai 50 kanak kanak menyertai Program Berkhatan Beramai Ramai anjuran USIA Bahagian Labuan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, pada Sabtu.
Program yang diadakan di Klinik Kesihatan Membedai itu telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USIA pusat, Haji Yahya Haji Bakri.Hadir sama Timbalan Ketua USIA Bahagian Labuan, Sahari Amdan dan Ketua Wanita USIA Bahagian Labuan, Dg Sharifah Hj Mahmud serta beberapa ahli Jawatankuasa USIA Bahagian Labuan.
Majlis tersebut yang turut diiringi ibu bapa dan penjaga itu dimulakan dengan mandi bersiram menggunakan pancuran jentera Bomba sekaligus memeriahkan kanak kanak berkhatan.
Haji Yahya yang juga Naib Ketua USIA Bahagian Labuan berkata, program berkhatan beramai ramai merupakan aktiviti tahunan USIA melibatkan 10 Cawangan USIA yang ada di Labuan.
“Kos pengurusan untuk berkhatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak USIA Bahagian Labuan dan program ini juga adalah sebagai salah satu usaha USIA Labuan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli ahli USIA”,katanya.